suria

Sayap Umno Sepakat & Matang Perjuang Agenda Parti

KUALA LUMPUR: Bersama barisan kepimpinan baharu, perhimpunan ketiga-tiga sayap Umno - Wanita, Pemuda dan Puteri - pada Rabu bukan sahaja penuh bersemangat tetapi juga sepakat memperjuangkan kepentingan rakyat, khususnya orang Melayu.

Pergerakan Wanita yang dipimpin Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Pemuda diterajui Khairy Jamaluddin dan Puteri diketuai Mas Ermieyati Samsudin, juga menyedari akan cabaran yang menanti mereka khususnya bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kelak.

Ketiga-tiga sayap itu juga sedar akan perlunya mereka untuk saling melengkapi antara satu sama lain dan bergerak sederap agar agenda dan proses transformasi parti berjalan lancar, sekali gus memastikan kemenangan lebih baik dalam PRU14 bukanlah angan-angan kosong.

Pergerakan Wanita dan Pemuda yang berusia 66 tahun serta Puteri yang kini menjadi 'gadis sunti' berumur 13 tahun, sewajarnya diberikan pujian kerana menunjukkan kematangan masing-masing sebagai srikandi, hulubalang dan permata Umno.

Gandingan ketiga-tiga sayap ini yang menjadi tonggak kekuatan parti, berjaya melonjakkan dan mengekalkan sokongan rakyat khususnya orang Melayu terhadap Umno selama ini, termasuk dalam PRU13 Mei lepas.

Menyedari peranan dan jasa besar yang dicurahkan Wanita kepada parti, Shahrizat dalam ucapan dasarnya berkata sudah tiba masanya untuk pergerakan itu, yang mempunyai keanggotaan kira-kira 1.3 juta, diiktiraf sebagai teras dan tulang belakang Umno, bukannya lagi sayap parti.

Beliau berkata Wanita Umno perlu melalui transformasi dalam perjuangan dan tidak hanya membataskan perjuangan bersifat 'women-centric', sebaliknya 'mampu memimpin' isu dan permasalahan rakyat seperti isu perumahan, ekonomi dan keusahawanan, pendidikan, keselamatan, keadilan sosial, antarabangsa dan masa depan negara.

Wanita Umno, kata Shahrizat mesti berjiwa besar untuk lantang bersuara membicarakan soal idea dan berbahas mengenai masa depan parti.

Ketua Puteri, Mas Ermieyati yang menyokong penuh permintaan Shahrizat supaya Wanita Umno dijadikan tulang belakang parti menyifatkan tuntutan itu adalah relevan.

Kewujudan Puteri yang kini dianggotai 368,481 orang, tegasnya bukan untuk menyaingi Wanita malah untuk melengkapi antara satu sama lain. Beliau turut mencadangkan supaya dibuka keahlian automatik kepada mana-mana anggota Puteri yang mencapai had umur dalam pergerakan itu, untuk menyertai Wanita Umno.

Bagi Pemuda Umno yang mempunyai kira-kira 650,000 anggota, Khairy berkata peranan pergerakan perlu sejajar dengan tuntutan semasa dan progresif serta tidak boleh lagi bergantung kepada formula lama iaitu sekadar menjadi kumpulan pendesak yang membangkitkan semangat dan emosi semata tanpa memberi kesan jangka panjang untuk agama, bangsa dan negara.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata Pemuda Umno mesti berani mengubah manhaj atau pendekatan, tanpa meninggalkan matlamat perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara kerana masyarakat sekarang lebih mementingkan keberhasilan dan kebertanggungjawaban, serta berlaku adil kepada seluruh rakyat.

Tegas Khairy, Pemuda juga akan bertindak sebagai ejen penyelesaian masalah dan terus menjuarai pelbagai isu dan permasalahan rakyat seperti pendidikan, pekerjaan dan perumahan untuk orang muda.

Ucapan dasar ketua ketiga-tiga sayap antara lain turut menyentuh isu-isu rakyat seperti Agenda Pemerkasaan Bumiputera, jenayah, perumahan, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), rasionalisasi subsidi dan kesaksamaan gender.

Mengupas perhimpunan agung Wanita, Pemuda dan Puteri, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata tiada beza sama ada menjadi teras atau sayap parti, sebaliknya apa yang penting adalah memainkan peranan dengan lebih signifikan.

"Saya tengok Wanita agak kurang mantap dan masih perlu memainkan peranan dengan lebih berkesan. Kalau meminta tapi tak berkesan, tak guna. Pada saya apa yang penting Wanita, Puteri atau Pemuda perlu memainkan peranan dengan lebih agresif. Wanita juga pada saya perlu keluar daripada imej politik 'makcik-makcik', sebaliknya kena dinamik dan moden," katanya.

Puteri, kata Mohamed Mustafa perlu lebih lantang menyuarakan isu dan menyaingi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam permasalahan rakyat.

"Jangan sampai dijuarai oleh NGO. Saya lihat sekarang NGO lebih ke hadapan dalam memperjuangkan masalah rakyat," katanya. Bagi memartabatkan agenda bangsa, beliau berpandangan Pemuda masih perlu mengekalkan peranan lamanya sebagai kumpulan pendesak kerana ia mempunyai kemampuan berbuat demikian.

Jika Pemuda tidak memainkan peranan sebagai kumpulan pendesak, NGO akan mengambil alih peranan itu dan pergerakan akan dilihat lemah, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain