suria

Rompak Pelajar: Pemandu Lori Dihukum Penjara 10 Tahun, Empat Sebatan

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori dihukum penjara berjumlah 10 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku merompak dua pelajar perempuan menggunakan sebilah pisau.

Hakim Azwarnida Affandi menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan empat sebatan ke atas Ali Shabuddin Shaharuddin, 38, bagi pertuduhan pertama dan lima tahun bagi pertuduhan kedua.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 30 Jun lepas.

Bagi kesalahan pertama, Ali Shabuddin didakwa merompak kereta, wang tunai RM120, telefon bimbit dan dua kad ATM milik Nur Hazira Izni Mohd Hairuddin, 22, di parkir tepi jalan di Taman Intan Baiduri, Kepong pada 12.30 tengah hari, 28 Jun lepas.

Dia juga didakwa merompak wang tunai RM200, telefon bimbit, kad ATM dan seutas jam tangan milik Nurul Shafika Bastian, 19, pada masa dan tempat yang sama.

Ali Shabuddin didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan boleh juga didenda atau disebat, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, ketika mangsa mengundur kereta, tiba-tiba tertuduh masuk ke dalam kenderaan itu melalui pintu belakang sambil mengacukan pisau dan mengarahkannya terus memandu.

Tertuduh kemudian mengarahkan mangsa menghentikan kereta dan merampas kenderaan itu serta barangan berharga milik kedua-dua pelajar sebelum meninggalkan mereka di tepi jalan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Aizam Aiza Zamran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan kesalahan lampau tertuduh.

Peguam Nur Aziatul Nadia Roslan pula memohon hukuman ringan kerana Ali Shabuddin perlu menyara tiga anak masih bersekolah dan ibu bapa yang sudah tua. - BERNAMA

Artikel Lain