suria

Pemimpin Pakatan Desak Khalid Semak Semula Cadangan Kenaikan Gaji Adun Selangor

KUALA LUMPUR: Pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) mendesak Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalib Ibrahim menimbangkan semula cadangan untuk menaikkan gaji Ahli Dewan Undangan Negeri dan Exco Kerajaan Negeri di negeri itu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang sepakat bahawa kenaikan gaji boleh dibuat dengan mengurangkan kadar yang diumumkan sebelum ini.

"Satu kajian perlu dijalankan mengenai keputusan kenaikan gaji, dan kita serahkan kepada Khalid dan kerajaan negeri untuk membuat keputusan akhir mengenainya.

"Secara ringkasnya kita bersetuju bahawa kadar yang ditentukan boleh dikurangkan sebelum kenaikan gaji ini dilaksanakan," kata Anwar dalam sidang media bersama di Parlimen pada Selasa.

Ditanya mengenai pendirian tegas Khalid bahawa tiada perubahan dalam soal kenaikan gaji dan mereka yang tidak mahu menerimanya boleh menderma wang berkenaan kepada jabatan kebajikan, Anwar berkata ia hanyalah 'respon yang tidak dirancang'.

"Saya telah pun bertemu dengan beliau untuk membincangkan isu ini, dan dia resposif dengan cadangan kita supaya menyemak semula cadangan kenaikan gaji baru yang telah diluluskan itu," katanya.

Hadi dan Lim juga bersetuju dengan cadangan tersebut sambil menambah bahawa kerajaan negeri perlu melihat semula kedudukan kewangan negeri serta sentimen rakyat sebelum membuat keputusan akhir mengenainya.

Di bawah skim gaji baru itu, gaji Adun akan dinaikkan sebanyak 87% daripada RM6,000 kepada RM11,250 sebulan, Speaker dari RM6,109.29 kepada RM22,500 (268%), timbalan speaker dari RM3,427.50 kepada RM15, 750 (373%).

Gaji Exco pula naik sebanyak 231% daripada RM6,109.29 kepada RM20,250 sementara gaji Menteri Besar pula naik sebanyak 106.4% daripada RM14,175 kepada RM29, 250.

Sementara itu, Tan Sri Shahrir Samad (BN-Johor) pula berkata sepatutnya kerajaan negeri Selangor mengumumkan kenaikan gaji Adun dan Exconya berdasarkan pendapatan per kapita kerajaan negeri.

Artikel Lain