suria

Pelajar Kolej Dalam Perjalanan Ke Kelas Maut Kemalangan

BUTTERWORTH: Seorang pelajar lelaki sebuah kolej maut dalam perjalanan ke pusat pengajian selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah van dalam kemalangan di Jalan Ampang Jajar, di sini pagi Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Supt Mohd Shukri Awang berkata kemalangan itu berlaku pada pukul 7.15 pagi selepas mangsa S.Seridaran, 21, yang tinggal di perumahan Mak Mandin iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian gagal mengawal motosikalnya berikutan jalan licin sebelum merempuh belakang van.

"Ketika kejadian mangsa dalam perjalanan ke Kepala Batas untuk menghadiri kelas di sebuah kolej di situ, sebelum motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan akibat jalan licin kerana hujan.

"Dia terbabas dan merempuh sebuah van milik sebuah syarikat kawalan keselamatan yang melalui jalan itu.

"Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa terpelanting beberapa meter dan mati di tempat kejadian berikutan kecederaan parah di badan serta kepala," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Mohd Shukri berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Artikel Lain