suria

MB Johor Nasihat Penduduk Jaga Keselamatan Ketika Banjir

Mohamed Khaled Nordin.
Mohamed Khaled Nordin.
Mohamed Khaled Nordin.

JOHOR BARU: Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Rabu menasihatkan penduduk negeri supaya menjaga keselamatan diri dan keluarga bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini pada musim banjir ketika ini.

Mohamed Khaled menerusi laman sosial Facebook beliau berkata semua penduduk juga diharap memberikan kerjasama kepada agensi penyelamat sekiranya perlu berpindah.

"Sesetengah kawasan di beberapa daerah seperti Mersing, Kluang, Segamat, Kota Tinggi, Muar dan Batu Pahat sedang mengalami banjir malah ada keluarga yang telah mula dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir.

"Saya menyeru mereka yang perlu berpindah supaya sentiasa memberi kerjasama kepada agensi penyelamat dan jagalah keselamatan diri serta pantaulah pergerakan anak-anak supaya dapat mengelak daripada berlakunya kejadian tidak diingini," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri Johor dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah membuka Bilik Gerakan Bencana sejak semalam dan orang ramai boleh menghubunginya di talian 07-2212201 untuk mendapatkan maklumat semasa banjir.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di enam daerah di negeri ini menunjukkan peningkatan dengan sebanyak 8,250 orang berada di pusat pemindahan sehingga petang ini berbanding 7,106 pada sebelah pagi.

Menurut portal MKN, sehingga pukul 4 petang, sebanyak 5,694 orang berada di pusat pemindahan di Mersing, Segamat (1,081), Kluang (975), Kota Tinggi (212), Muar (217) manakala Batu Pahat (71).

Antara kawasan yang dilaporkan baru terjejas akibat bencana itu ialah Sungai Suloh dan Seri Merlong dekat Batu Pahat serta Kampung Orang Asli Sedohok, Kampung Orang Asli Air Pasir, Kampung Orang Asli Kuala Sengka, Kampung Orang Asli Pucur, Ladang Zamrud dan Kampung Kolam Air dekat Kluang.

Laluan di Batu 18 Sungai Ara-Kota Tinggi pula masih terputus hubungan dan tidak boleh dilalui kenderaan berat manakala KM16 Jalan Kota Tinggi-Mersing hanya dibuka sebelah laluan ekoran tanah runtuh berdekatan Institut Latihan Perindustrian (ILP). - BERNAMA

Artikel Lain