suria

Mahkamah Rayuan Kekal Ganti Rugi Am Bagi Perobohan Gereja Secara Haram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Selasa mengekalkan ganti rugi am diberikan kepada empat Orang Asli kaum Temiar dari Kg Jias, Gua Musang di Kelantan, berhubung perobohan gereja mereka secara haram pada 2007.

Bagaimanapun, mahkamah mengetepikan ganti rugi teladan diberikan oleh Mahkamah Tinggi Kota Baharu pada 15 Julai, 2009 terhadap Majlis Bandaran Gua Musang dan dua lagi defendan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Wahab Patail memerintahkan defendan membayar kos RM10,000 kepada plaintif.

Dua lagi hakim dalam panel ialah Datuk David Wong Dak Wah dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.

Keputusan panel berkenaan dibacakan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Zaini Faizal.

Pada 15 Julai 2009, Mahkamah Tinggi Kota Baharu memutuskan Majlis telah merobohkan gereja itu tanpa memberikan notis dalam tempoh 30 hari dan mengisytiharkan langkah Majlis membina bangunan serbaguna di atas tapak gereja itu adalah perbuatan menceroboh.

Selepas keputusan hari ini, peguam yang mewakili kesemua plaintif, Subramaniyan A. Nambiar dan Lum Chee Seng memberitahu pemberita bahawa dengan keputusan itu, perkara itu akan dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi Kota Baharu untuk penilaian ganti rugi am.

Saman yang difailkan pada 1 Julai, 2007, diketuai Tok Batin Pedik Busu dan tiga yang lain, menamakan ketua Majlis Daerah, Penolong Pegawai Tanah dan Daerah Gua Musang dan kerajaan negeri pimpinan PAS sebagai responden.

Dalam rayuan hari ini, hanya defendan pertama (Majlis Bandaran) merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi. -BERNAMA

Artikel Lain