suria

Kelab Umno Luar Negara Perlu Tarik Orang Melayu Di Luar Negara Sertai Umno

Muhyiddin (tengah) memangku anak Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, Jibreil Ali Jamaluddin ketika menghadiri Persidangan Pemuda Umno sempena Perhimpunan Agung Umno Ke-67 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada Rabu. Foto AZMAN GHANI/The Star.

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mahukan Kelab Umno Luar Negara lebih aktif menjalankan program menarik lebih ramai kaum Melayu dan Bumiputera di luar negara termasuk golongan muda untuk menyertai Umno.

Hasrat Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri itu disampaikan sewaktu pertemuannya dengan wakil-wakil Kelab Umno Luar Negara sempena Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Rabu.

Timbalan Pengerusi Kelab Umno Warwick dan Coventry Muhammad Hakimi Jaafar yang bertindak sebagai jurucakap kelab-kelab Umno Luar Negara berpendapat matlamat itu antaranya boleh dicapai melalui program diskusi ilmu.

"Sebagai contoh, golongan muda hari ini dilihat lebih berminat dengan diskusi ilmu, maka perlunya lebih banyak diskusi ilmu diadakan untuk membincangkan baik buruk sesuatu perkara.

"Barulah boleh menggalakkan percambahan minda dan idea dan menarik minat orang muda menyertai Umno," katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Muhammad Hakimi berkata Timbalan Perdana Menteri turut membangkitkan tentang pentingnya rakyat Malaysia di luar negara mendaulatkan Bahasa Melayu di negara-negara mereka berada.

"TPM nasihatkan supaya jaga bahasa (Melayu). Beliau mahu rakyat Malaysia gunakan Bahasa Melayu sepenuhnya tanpa mengira kaum ketika berkomunikasi. Bahasa Melayu perlu menjadi bahasa perpaduan dan itu yang sepatutnya digunakan. Ia boleh memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata Muhyiddin juga berharap produk orang Melayu terutama Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dapat dikembangkan ke peringkat global.

"Beliau amat berharap IKS dapat dikembangkan ke peringkat global dan diwujudkan industri orang Melayu yang dapat bersaing di peringkat antarabangsa," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain