suria

Keadaan Banjir Semakin Buruk Di Pahang, Hampir 20,000 Dipindahkan

Peniaga kedai runcit, Asmadi Harun, 40, menyelamatkan barang-barang selepas kedainya dinaiki air akibat hujan berterusan sejak beberapa hari lepas di Kampung Cherating Baru, Kuantan pada Rabu.

KUANTAN: Keadaan banjir semakin buruk di Pahang dan kini hampir 20,000 mangsa ditempatkan di pusat-pusat pemindahan banjir.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen, sehingga pukul 5 petang, sebanyak 19,750 mangsa banjir ditempatkan di 73 pusat pemindahan di lima daerah terbabit.

"Kuantan mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu sebanyak 12,007 yang ditempatkan di 46 pusat pemindahan," katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Bandar Kuantan yang dilaporkan lumpuh berikutan bekalan elektrik dan air terputus sebelum ini, kini menerima bekalan secara beransur-ansur.

Di Rompin, sebanyak 3,982 mangsa banjir ditempatkan di 10 pusat pemindahan.

"Di Pekan sebanyak 2,750 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan, di Maran 1,005 orang di tujuh pusat pemindahan dan selebihnya di Jerantut yang ditempatkan di sebuah pusat pemindahan," kata jurucakap itu.

Pihak berkuasa bagaimanapun meminta penduduk di kawasan rendah supaya bersiap sedia berpindah berikutan hujan diramal berterusan sehingga Khamis.

Beberapa laluan jalan raya masih ditutup kepada lalu lintas berikutan kawasan jalan raya berkenaan dinaiki air melebihi 1 meter.

Antaranya Km28, Jalan Sungai Lembing/Sungai Charu-Kuantan, Jalan Gambang-Maran di Bukit Gambang Resort, Batu 3, Jalan Kuantan-Gambang berhampiran Pasaraya Giant, persimpangan lampu isyarat Bukit Rangin dan Jalan Cherating-Kemaman berhampiran Chendor.

Pihak polis menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan bersedia dengan sebarang kemungkinan dan mengikuti arahan pihak berkuasa untuk berpindah sekiranya diminta berbuat demikian. - BERNAMA

Artikel Lain