suria

Hentikan Kritikan Terhadap Ustaz Kazim - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (kanan) beramah mesra dengan jurufoto Bernama ketika meluangkan masa melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung Umno 2013.
Ahmad Zahid (kanan) beramah mesra dengan jurufoto Bernama ketika meluangkan masa melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung Umno 2013.
Ahmad Zahid (kanan) beramah mesra dengan jurufoto Bernama ketika meluangkan masa melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung Umno 2013.

KUALA LUMPUR: Semua pihak diminta menghentikan kritikan terhadap Mohammad Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim selepas pendakwah bebas itu menolak pelantikan sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semua pihak juga perlu menghormati keputusan Ustaz Kazim untuk terus menjadi pendakwah bebas bagi meneruskan usaha memartabatkan ummah dan agama Islam.

"Pada hemat saya ada hikmahnya kerana beliau boleh bergerak secara bebas di luar lingkungan Umno untuk terus jadi pendakwah bukan sahaja kepada ahli Umno tetapi kepada seluruh ummah," katanya kepada pemberita semasa melawat Laman Media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Pada Selasa, Mohammad Kazim dilaporkan mengumumkan menolak pelantikan sebagai anggota MT kerana mahu menjadi pendakwah yang boleh bergerak bebas dalam usahanya memartabatkan agama dan perpaduan umat Islam negara ini.

Pendakwah itu berkata beliau juga mahu memberi tumpuan kepada sekolah yang ditubuhkannya, Pusat Pendidikan Al-Barakah, di Jalan Maxwell, Ipoh, Perak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula berkata ia adalah hak pendakwah bebas itu untuk membuat keputusan sedemikian.

Jamil Khir yang juga anggota MT berkata Umno sentiasa membuka ruang kepada golongan ulama untuk berjuang bersama-sama membangunkan Islam di atas landasan arus perdana di negara ini.

"Ia adalah hak masing-masing dalam bidang atau cakupan masing-masing. Kita melihat ruang lingkup yang diberikan Umno untuk transformasi membangunkan agama Islam dengan menyediakan ruang kepada golongan ulama menunjukkan Umno tidak pernah menyekat mana-mana pihak untuk bersama-samanya," katanya ketika ditemui pemberita di PWTC.

Ditanya mengenai kedudukan Ustaz Kazim yang boleh berjuang bersama-sama Umno untuk agama Islam walaupun tidak berada dalam MT, Jamil Khir berkata Islam boleh dibangunkan di atas mana-mana landasan.

Terdahulu, Jamil Khir menerima kunjungan hormat Imam Masjidil Haram, Makkah, Arab Saudi, Syeikh Dr Khalid Ali Al-Ghamidi.

Pada 29 November lepas, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan Ustaz Kazim adalah antara sembilan anggota MT yang dilantik bagi melengkapkan jumlah 13 anggota MT tambahan yang diputuskan presiden Umno mengikut Fasal 9.2.8. Perlembagaan Umno.

Isnin lepas, Ustaz Kazim mengumumkan keputusan keluar dari PAS kerana kecewa dengan tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya oleh pucuk pimpinan dan anggota parti itu sejak sekian lama. - BERNAMA

Artikel Lain