suria

Dakwaan Kertas SPM Bocor Tidak Benar - Polis

KUALA LUMPUR: Polis mendapati tiada kebocoran bagi kertas soalan dua Matematik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semasa peperiksaan itu bulan lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata pihaknya menyiasat laporan yang dibuat pada 21 November lepas dan memanggil 56 saksi untuk memberi keterangan termasuk pelajar yang menyertai satu seminar yang didakwa membocorkan kertas soalan itu.

Siasatan polis mendapati seminar itu, yang dianjur beberapa hari sebelum peperiksaan SPM, hanya membincangkan kertas soalan beberapa tahun lepas serta beberapa soalan ramalan.

"Tidak timbul kertas SPM dibocorkan... seminar itu hanya membuat soalan ramalan daripada soalan SPM tahun-tahun lepas. Laporan itu kita sudah siasat dengan teliti," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di sini Rabu.

Pada 22 November lepas, Persatuan Pengguna Islam Malaysia menerima aduan daripada tiga individu yang mendakwa kertas soalan Matematik dan Matematik Tambahan bagi peperiksaan SPM tahun ini, bocor.

Mereka mendakwa kertas itu diedar dalam satu seminar SPM 2013 yang dikelola seorang guru di Masjid Mua'adz Bin Jabal, Setiawangsa.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Mohmad mengumumkan kejayaan polis melumpuhkan operasi 22 premis pajak gadai tanpa lesen sekitar ibu negara.

Beliau berkata serbuan sepasukan pegawai dan anggota polis dari IPKKL ke premis terbabit semalam menyaksikan penahanan 21 suspek iaitu 17 lelaki dan 4 wanita yang berumur antara 20 dan 50 tahun.

Dalam serbuan itu, polis merampas barangan kemas, beberapa utas jam tangan berjenama dan dokumen pajakan yang dianggar bernilai puluhan ribu ringgit.

"Mana-mana pajak gadai yang hendak beroperasi secara sah perlu mendapatkan lesen. Ia perlu bagi mengelakkan pajak gadai dijadikan tempat menyimpan barangan curi," katanya.

Mohmad berkata kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 dan Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946. - BERNAMA

Artikel Lain