suria

Bandar Kuantan Lumpuh, Keadaan Banjir Semakin Buruk Di Pahang

KUANTAN: Keadaan banjir di Pahang kini semakin buruk dan semakin banyak mangsa banjir dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan di negeri ini.

Bandar Kuantan kini hampir lumpuh apabila kebanyakan kawasan terputus bekalan elektrik dan air, selain jalan raya di sekitar bandar dinaiki air sehingga melebihi 1 meter akibat hujan tidak berhenti hingga hari ini.

Beberapa kawasan perkampungan dan perumahan di sekitar Kuantan turut terputus bekalan elektrik dan air, selain dinaiki air sehingga melebihi dua meter.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri sehingga pukul 11 pagi Rabu, sebanyak 11,721 mangsa banjir ditempatkan di pusat-pusat pemindahan banjir di daerah Kuantan, Rompin, Pekan, Maran dan Jerantut.

"Di Kuantan, sebanyak 4,148 mangsa banjir ditempatkan di 33 pusat pemindahan, Rompin (3,615 mangsa di 10 pusat pemindahan), Pekan (2,716 mangsa di 9 pusat pemindahan), Maran (1,179 mangsa di sembilan pusat pemindahan) dan Jerantut (63 mangsa di sebuah pusat pemindahan).

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan premis perniagaan, swasta dan institusi kewangan di bandar Kuantan tidak beroperasi berikutan bekalan elektrik terputus.

Pengamal media di Pahang turut menghadapi kesulitan untuk beroperasi bagi melaporkan situasi banjir terkini di Pahang.

Para penduduk di kawasan rendah dan kawasan perumahan di sekitar Kuantan diarah bersiap sedia berpindah berikutan hujan masih berterusan dan dijangka berlaku air pasang dari laut dan bertembung dengan air Sungai Kuantan serta Sungai Lembing pada malam ini.

Berdasarkan tinjauan Bernama, beberapa pusat pemindahan juga mengalami masalah bekalan makanan dan keperluan asas berikutan kawasan penempatan mangsa banjir tidak dapat dihubungi menerusi jalan darat.-BERNAMA

Artikel Lain