suria

Umno Jangan Leka, PRU-13 Hanya Kemenangan Bersyarat - Muhyiddin

Muhyiddin menyampaikan ucapan pada majlis perasmian serentak Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, malam Selasa.- fotoBERNAMA
Muhyiddin menyampaikan ucapan pada majlis perasmian serentak Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, malam Selasa.- fotoBERNAMA
Muhyiddin menyampaikan ucapan pada majlis perasmian serentak Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, malam Selasa.- fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa menyeru anggota parti supaya tidak lalai dan leka di sebalik kejayaan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada Mei lalu kerana ia hanya kemenangan bersyarat buat Umno dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, Umno berjaya menambah bilangan kerusi di Parlimen, tetapi BN mengalami kekurangan sokongan terutama di kalangan pengundi muda dan pengundi bandar.

"Kita berjaya memenangi semula negeri Kedah dan mengekalkan pentadbiran negeri Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Perlis dan Sabah, tetapi kita gagal memenangi Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Bilangan kerusi kita di negeri-negeri kubu kuat Umno seperti Johor dan Melaka juga berkurangan.

"Umno perlu memahami mesej jelas yang cuba dihantar oleh para pengundi. Kita perlu bermuhasabah secara jujur dan ikhlas untuk mengetahui sebab-musabab mengapa sokongan pengundi bandar dan golongan muda terhadap parti kita tidak seperti yang diharapkan.

"Apakah selama ini sentuhan Umno tidak begitu dirasai oleh mereka? Mungkinkah terdapat kelemahan-kelemahan yang perlu kita perbaiki? Apakah bentuk penambahbaikan yang perlu kita laksanakan? Setidak-tidaknya, para pengundi menghantar mesej jelas bahawa transformasi Umno sebagai parti yang benar-benar merasai denyut nadi rakyat dan berupaya menggalas harapan rakyat mesti diteruskan," katanya pada majlis Perasmian Perhimpunan Agung Sayap Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam Selasa.

Muhyiddin berkata, tidak dinafikan PRU-13 merupakan pentas jihad untuk memastikan kelangsungan perjuangan Umno demi agama, bangsa dan negara.

Tambahnya, walaupun berhadapan dengan pelbagai tohmahan dan pembohongan yang dilemparkan oleh pembangkang termasuk konco-konco mereka dari dalam dan luar negara, Umno dan BN terus berdiri megah sebagai parti yang mendapat mandat rakyat untuk memerintah.

"Kita sedar dalam pilihan raya yang lalu, Umno bukan sahaja berhadapan dengan serangan parti pembangkang, malah belasahan gerombolan "kuasa jahat" yang mahu melihat parti keramat orang Melayu dan umat Islam berkubur di tanah air sendiri.

"Namun, berpantang maut sebelum ajal, dengan rahmat dan inayah Allah S.W.T kita berjaya mempertahankan kelangsungan Umno," katanya.

Bagaimanapun menurut Muhyiddin, orang Melayu dan Bumiputera telah membuktikan bahawa sokongan padu mereka menjadi sumber kekuatan Umno dan BN.

"Harapan mereka kepada Umno semakin tinggi dan mereka mahu sokongan kepada Umno tidak disia-siakan.

"Mereka ingin melihat Umno terus menjadi penyelamat Melayu dan perisai Islam yang sejati. Bagi orang Melayu dan Bumiputera, Umno lah tempat mereka bernaung," katanya.

Artikel Lain