suria

Umno Berjuang Sebagai Parti Rakyat - Najib

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno perlu menghantar isyarat jelas kepada rakyat Malaysia bahawa Umno adalah parti rakyat yang sentiasa mendahulukan rakyat dalam semua hal, kata Datuk Seri Najib Tun Razak, Isnin.

Perdana Menteri berkata mesej Umno sebagai parti harapan untuk negara ini juga perlu disalurkan oleh perhimpunan agung itu.

Beliau yang juga Presiden Umno berkata perhimpunan agung itu mesti menghantar isyarat jelas bahawa Umno adalah parti harapan negara ini bukan sahaja untuk orang Melayu dan Islam tetapi negara pada keseluruhannya.

"Kita mesti menggambarkan bahawa kita ini parti sentiasa mendahulukan rakyat dalam semua hal. Yang pentingnya ialah kita sedar dengan kehendak rakyat.

"Kita mesti menjadi parti rakyat," katanya dalam wawancara khas dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di pejabat Perdana Menteri di bangunan Parlimen, di sini.

Perhimpunan agung enam hari itu bermula pada Isnin dengan Umno menganjurkan forum antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Najib berkata walaupun Umno parti Bumiputera, para anggota parti mesti menganggap Umno juga membawa kaum-kaum lain ke arah masa depan yang lebih terjamin lagi.

Menyentuh mengenai perbahasan para perwakilan pada perhimpunan itu nanti, beliau berkata mereka diminta tidak menyatakan sesuatu yang boleh menyakiti hati bukan Melayu.

"Ini bukan satu forum untuk menyerang yang lain. Ia hendaklah menggambarkan bahawa Umno ini bersikap inklusif," katanya.

Wawancara khas 40 minit itu berkisar kepada cabaran, harapan dan hala tuju Umno selepas pilihan raya umum ke-13, pada Mei dan pemilihan parti Oktober lepas. - BERNAMA

Artikel Lain