suria

Umno Bahagian Kepong Mahu Pemilihan Timbalan Ketua Bahagian Diadakan Semula

KUALA LUMPUR: Umno bahagian Kepong hari ini menggesa pemilihan jawatan Timbalan Ketua Bahagian itu diadakan semula atau 27 daripada 33 kepimpinan Umno bahagian itu akan meletak jawatan.

Setiausaha Umno bahagian, Ahmed Zaharani Yusof Omar berkata pihaknya telah menghantar surat mengenainya beserta tandatangan sokongan 27 pimpinan tinggi bahagian itu kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu lepas dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Isnin.

Beliau berkata, dua pertiga majoriti daripada kepimpinan bahagian tidak berpuas hati apabila Mohd Khilmi Yusop yang memenangi jawatan Timbalan Ketua Bahagian itu pada pemilihan parti 19 Oktober lepas, ditarik balik kemenangannya tanpa penjelasan munasabah.

"Tambah meragukan apabila 21 undi rosak yang disahkan wakil-wakil calon dan Pengerusi Pemantau untuk jawatan berkenaan 19 Oktober lepas disahkan boleh diguna pakai oleh Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, tapi keputusan undian sepenuhnya bagi kedua-dua calon tetap tidak dimaklumkan kepada kami," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Kepong Datuk Rizuan Abd Hamid dan Mohd Khilmi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa.

Pada Jumaat lepas, Syed Ali dalam satu kenyataan akhbar berkata, Jawatankuasa Khas Bantahan Umno telah memutuskan jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian itu dimenangi Datuk Norizan Ali selepas dakwaan sebanyak 21 kertas undi yang didakwa rosak didapati tidak benar dan diterima sebagai kertas undi yang sah.

Ahmed Zaharani berkata keputusan berkenaan juga dimaklumkan kepadanya melalui surat yang diberikan Badan Perhubungan Wilayah Persekutuan Sabtu lepas, namun tidak kepada Mohd Khilmi.

Ditanya sama ada pihaknya meletakkan tempoh untuk Umno pusat memberikan jawapan, beliau berkata pihaknya tidak meletakkan tempoh, tetapi yakin Umno pusat akan menjawab secepat mungkin setelah menerima surat daripada pihaknya.

"Kesemua 27 termasuk diri saya, Ketua Penerangan, anggota jawatan kuasa dan pegawai bahagian juga telah menandatangani surat letak jawatan dan bersedia menyerahkannya sekiranya tuntutan kami tidak dipenuhi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain