suria

Transformasi Umno Perlu Ambil Kira Realiti Politik Baharu - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata proses transformasi dalam Umno perlu berlangsung dengan mengambil kira keperluan bagi parti itu bergerak selaras dengan realiti politik baharu yang kini mewarnai landskap politik negara.

Najib yang juga Presiden Umno berkata kejayaan yang dikecapi Umno selama ini bukan jaminan bagi kejayaan akan datang, lebih-lebih lagi susulan perubahan yang berlaku dalam landskap politik tanah air, disulami perubahan demografik dan teknologi selain peningkatan tahap pendidikan rakyat Malaysia.

"Untuk kekal relevan, Umno mesti sanggup lakukan transformasi yang mencerminkan ia merupakan parti yang mampu menjamin masa depan orang Melayu dan negara secara keseluruhannya," katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan parti yang ditubuhkan pada 1946 itu perlu meningkatkan usaha melatih pemimpin di semua peringkat yang faham dengan apa yang perlu dilakukan demi survival parti dan perjuangannya.

Najib berkata demikian dalam wawancara khas dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sempena Perhimpunan Agung Umno 2013, di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini Isnin.

"Kita tak boleh lagi terima anggota Umno tanpa kita tarbiah atau didik mereka melalui kursus tertentu, bentuk minda mereka untuk berfikir...dalam konteks persekitaran baharu, politik baharu, bukan lagi politik lama," kata Najib.

Beliau memberi peringatan bahawa anggota Umno yang tidak faham politik baharu bakal ditolak rakyat.

"Sebab itu Umno kena sesuaikan diri, (termasuk) sediakan pemimpin-pemimpin yang menghayati politik baharu," jelasnya dalam wawancara khas 40 minit yang antara lain mengupas soal cabaran, harapan dan hala tuju Umno selepas pilihan raya umum ke-13 pada Mei dan pemilihan parti pada Oktober lepas.

Menurut Najib, sebahagian daripada proses transformasi dalam parti sudah berjaya manakala sebahagian lagi belum tiba ke penghujungnya.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata ada keperluan untuk Umno membuka pintu lebih luas kepada golongan profesional kerana ia difikirkan mampu memberi kekuatan kepada kepimpinan di peringkat bahagian dan cawangan.

"Saya cuba adun dan seimbangkan penyertaan semua kelompok untuk perkukuhkan proses membuat keputusan dalam parti selain mencerminkan suara pelbagai golongan yang perlu kita ambil kira," tambah Najib.

Seramai 25 anggota Majlis Tertinggi dipilih perwakilan dalam pemilihan parti pada Oktober manakala 13 anggota MT tambahan diputuskan Najib selaku presiden Umno.

Dalam wawancara khas dengan perdana menteri, kumpulan editor dan wartawan kanan Bernama itu diketuai Pengurus Besar Datuk Yong Soo Heong dan dianggotai, antara lain, oleh Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh dan Pengarang Khairdzir Md Yunus. - BERNAMA

Artikel Lain