suria

Renjer Hutan P.Pinang Nyaris Cedera Diserang Warga Asing Sindiket Curi Gaharu

BUKIT MERTAJAM: Seorang penguat kuasa Renjer Jabatan Perhutanan Pulau Pinang nyaris cedera diserang seorang lelaki warga Vietnam yang bertindak agresif selepas kawasan sindiket itu menebang pokok gaharu di Hutan Simpan Kekal Bukit Mertajam di sini, diserbu pada Selasa.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Abdul Wahab Deraman berkata hasil intipan dan penyamaran empat pegawai dan anggotanya sejak empat hari lepas, berjaya mengesan kawasan sindiket berkenaan beroperasi dan menyerbunya pada 10 pagi Selasa.

"Berdasarkan maklumat terdapat enam lelaki Vietnam melakukan aktiviti menebang dan mencuri kayu gaharu di kawasan itu dan selepas pemantauan kita menyerbu kawasan berkenaan dan terdapat dua lelaki melakukan aktiviti terbabit," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Katanya seorang daripadanya berjaya melarikan diri manakala seorang lagi berusia 36 tahun bertindak agresif dan cuba menyerang anggota renjer dengan senjata tajam namun berjaya ditahan.

Abdul Wahab berkata hasil siasatan awal terhadap lelaki itu membawa kepada penemuan dua khemah di dalam hutan itu yang dijadikan tempat tinggal kumpulan warga asing berkenaan.

Katanya khemah pertama ditemui 50 meter dari lokasi lelaki itu ditahan manakala satu lagi khemah kira-kira empat kilometer di dalam hutan terbabit.

"Kedua-dua khemah kita menemui bekalan makanan dan kelengkapan mereka. Khemah berkenaan dimusnahkan dan bekalan makanan dirampas. Kami turut merampas gaharu yang dipercayai sudah diproses untuk dibawa keluar dari kawasan hutan itu.

"Kami juga mengesan beberapa pokok yang baru ditebang oleh kumpulan itu sebelum diproses bagi mendapatkan gaharu," katanya.

Abdul Wahab berkata pihaknya juga sedang memantau beberapa kawasan yang dikenal pasti menjadi tumpuan kumpulan pencuri gaharu di kawasan Taman Botani dan Bukit Kerajaan di bahagian pulau serta Bukit Panchor di Nibong Tebal. - BERNAMA

Artikel Lain