suria

Khairy Minta Bekas Pemimpin Pemuda Terus 'Berjiwa' Pemuda

KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin Pemuda Umno perlu terus berjuang bersama-sama kepimpinan baharu sayap bagi memastikan kesinambungan perjuangan pergerakan itu.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata gabungan semangat dan pengalaman mereka yang lama dan baharu penting untuk membolehkan parti terus berjuang demi kepentingan bangsa, agama dan tanah air.

"Mereka ini telah melalui 'kilang' Pemuda dengan perit termasuk ketika dilanda tsunami politik 2008.

"Sekarang ini walaupun baju mereka sudah bertukar daripada baju Pemuda kepada baju 'dewasa', tetapi hati dan jiwa (perlu) tetap dengan Pemuda," katanya semasa berucap dalam jamuan tengah hari pergerakan itu, di sini Selasa.

Dalam majlis itu, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan, turut menyampaikan cenderahati kepada bekas anggota kepimpinan Pemuda.

Khairy turut mengingatkan barisan baharu kepimpinan Pemuda supaya terus menjadi suara rakyat tanpa mengira latar belakang. - BERNAMA

Artikel Lain