suria

Amanat Presiden Umno Tumpu Persediaan Parti Hadapi PRU-14

SEMANGAT... Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan pada Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Selasa.- fotoBERNAMA
SEMANGAT... Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan pada Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Selasa.- fotoBERNAMA
SEMANGAT... Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan pada Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Selasa.- fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Amanat Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada pucuk pimpinan parti sempena Perhimpunan Agung Umno 2013 pada Selasa menumpukan persediaan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, amanat itu menterjemahkan asas perjuangan parti untuk menegakkan syiar Islam, memartabatkan bangsa Melayu dan memajukan negara dengan melaksanakan aktiviti yang boleh dilihat dan dirasai rakyat.

"Yang Amat Berhormat (Datuk Seri Najib) menyentuh contohnya bagaimana kita hendak majukan negara sebagai negara yang membangun pada tahun 2020 dan kita hendak menyerlah dalam soal menegakkan syiar Islam serta hendak pastikan kepimpinan kita mantap dengan KPI (petunjuk prestasi utama) yang perlu dipenuhi.

"Ini semuanya adalah cara kita untuk meyakinkan rakyat lebih-lebih lagi apabila kita sedar menjelang PRU-14 sampai adanya enam juta pengundi baru," katanya kepada para pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa.

Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata, antara pendekatan itu adalah menerusi penggunaan media sosial dan memperjuangkan hak rakyat sekaligus memberi ruang dalam meraih sokongan mereka terhadap parti .

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula berkata, presiden parti menggariskan bahawa selama ini perjuangan Umno berasaskan kepada matlamat yang umum iaitu bangsa, agama dan negara.

"Maka kali ini Umno perlu meletakkan matlamat-matlamat yang lebih jelas sama ada jangka pendek atau jangka panjang dari segi soal kemajuan negara, kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi.

"Semua ini boleh dilakukan dengan kerja keras dari pucuk pimpinan parti dan keyakinan di peringkat akar umbi," katanya yang juga Menteri Besar Johor.

Bagi bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, amanat itu memperjelaskan mengenai panduan tentang bagaimana parti dapat bekerja keras untuk memberi khidmat kepada rakyat dan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) dengan lebih berjaya.

"Yang Amat Berhormat telah menggariskan tindakan-tindakan secara terperinci yang patut dibuat oleh Umno dari semua peringkat kepimpinan dan sayap-sayap parti sehingga ke cawangan dan bahagian.

Ini katanya termasuk menggandakan penglibatan Umno dengan hal keagamaan dan meramaikan golongan ulama dalam parti.

"Saya percaya dengan penglibatan ulama yang lebih ramai, saya nampak Umno telah ke hadapan berbanding parti-parti yang lain," katanya.

Sementara itu, wakil Kelab Umno Luar Negara (Padang, Indonesia), Ahmad Iqram Mohamed Sufee Al Qasary, 21, berkata, antara lain amanat presiden parti menekankan golongan muda sebagai pelapis dalam Umno untuk menjadi parti agar terus relevan.

"Oleh itu, perubahan yang dilakukan oleh kerajaan ingin memberitahu kepada golongan muda bahawa Umno terus relevan seperti memperjuangkan hak rakyat.

"Maka kami perlu terus memberi sokongan kepada kerajaan dan tidak terpengaruh dengan pihak pembangkang, manakala kerajaan perlu menggunakan media sosial untuk menyalurkan maklumat yang tepat kepada golongan muda," katanya yang merupakan pelajar bidang perubatan di Universitas Andalas di Padang, Indonesia.

Artikel Lain