suria

Umno Diminta Jadi Perantara Rundingan Perdamaian Hamas-Fatah: Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu pada Isnin diminta menjadi perantara dalam rundingan perdamaian antara Hamas dan Fatah.

Katanya perkara itu disampaikan oleh pemimpin Hamas, Khalid Meshaal kepada beliau dalam pertemuan mereka di sini.

Khalid meminta Umno dan Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) memainkan peranan sebagai perantara kerana mereka yakin serta percaya PCOM dan Umno boleh menjadi pemangkin kepada program perdamaian ini, katanya kepada media di sini Isnin.

Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat Khalid dan delegasi Hamas itu yang berada di negara ini untuk menghadiri Forum Antarabangsa Umno 2013, bermula hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata dalam pertemuan itu beliau turut memberi jaminan kepada Khalid yang Malaysia akan terus membantu pembangunan di Gaza dan Rafah, selain menawarkan biasiswa kepada pelajar mereka yang menyambung pengajian di sini.

Sementara itu, Khalid berkata sebarang peranan yang dimainkan oleh Malaysia dalam rundingan perdamaian Hamas-Fatah tersebut amat dialu-alukan.

"Kami mahu membebaskan tanah air kami. Kami mahu hidup tanpa pencerobohan dan mengambil semula hak kami yang sah, justeru kami memohon sokongan daripada dunia Islam dan dunia amnya terhadap perjuangan kami," katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia, Umno dan barisan kepimpinan negara yang berjaya mentransformasikan Malaysia menjadi antara negara peneraju.

"Kami gembira dapat menyertai dan bersama-sama dengan Umno dalam konvensyen ini. Tahniah kerana memenangi pilihan raya umum ke-13," katanya.

Khalid berkata sebagai seorang Islam, beliau berbangga dengan pencapaian Malaysia dalam mendukung demokrasi dan pencapaian ekonominya. - BERNAMA

Artikel Lain