suria

Tiada Pilih Kasih Dalam Pelaksanaan Ops Cantas - Wan Junaidi

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1.1 juta individu daripada semua kaum telah diperiksa sepanjang pelaksanaan Ops Cantas sejak 17 Ogos lepas, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 465,016 orang Melayu diperiksa diikuti Cina (190,803 orang), India (171,420) orang dan lain-lain yang turut merangkumi etnik Sabah dan Sarawak sebanyak 277,217 orang.

"Jumlah tangkapan keseluruhan dalam operasi yang menyasarkan ahli kongsi gelap itu adalah sebanyak 36,316 orang. "Memang jelas kaum Melayu yang paling banyak diperiksa dan tiada pilih kasih dari segi etnik atau bangsa. Kita tangkap sesiapa sahaja yang ada penglibatan dalam kongsi gelap," katanya semasa menjawab soalan tambahan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BN-Sabak Bernam) sama ada pihak berkuasa hanya menyasarkan kaum tertentu yang menganggotai kongsi gelap dalam pelaksanaan Ops Cantas, daam persidangan Dewan Rakyat.

Wan Junaidi berkata dalam pelaksaan Ops Cantas, Polis Driaja Malaysia (PDRM) menjalinkan kerjasama rapat dengan Interpol dan Aseanpol selain kerajaan Thailand dan Singapura bagi mengesan serta menghalang mana-mana individu yang dikehendaki memasuki negara jiran.

"Kawalan di pintu masuk negara diperketatkan lagi termasuk membuat pemantauan yang rapi di lorong-lorong tikus, operasi bersama agensi penguat kuasa seperti Jabatan Imigresen, Kastam, Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) yang diadakan dengan lebih kerap," katanya.

Selain itu, katanya, polis juga mengadakan kerjasama dengan pengusaha kereta sewa dan teksi Thailand untuk menyalurkan maklumat jika mendapati ada individu yang mencurigakan serta sanggup membayar harga yang tinggi untuk menyeberangi sempadan.

Ops Cantas Khas di sempadan yang dilancarkan sejak 15 September menumpukan penguatkuasaan terhadap tiga perkara iaitu berkaitan senjata, dadah dan penyeludupan manusia.

Wan Junaidi berkata kerjasama dengan Jabatan Imigresen juga diadakan bagi mengawal semua lapangan terbang dalam negeri yang mempunyai potensi untuk mana-mana individu yang dikehendaki polis menggunakan jalan udara untuk melarikan diri ke luar negara.

"Polis telah menghantar senarai untuk dikenakan perintah sekatan kepada Imigresen," katanya semasa menjawab soalan asal Mohd Fasiah yang bertanya mengenai tindakan PDRM ke atas ahli kongsi gelap dan bekas tahan Ordinan Darurat (EO) yang melarikan diri ke luar negara berikutan pelaksanaan Ops Cantas sejak 17 Ogos lalu serta langkah kerjasama yang diambil dengan Interpol. -BERNAMA

Artikel Lain