suria

Selangor Cadang Syarat Tanah Rizab Melayu Dikaji Semula

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor pada Isnin mencadangkan supaya syarat tanah rizab Melayu di negeri ini dikaji semula bagi memudahkan pelaksanaan pembangunan komersial dan perumahan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kajian semula itu perlu bagi membolehkan pembangunan dibuat kerana ia dilihat mampu memberi pulangan yang lebih tinggi biarpun kerajaan negeri setakat ini tidak membangunkan tanah-tanah rizab tersebut.

"Saya dapati ada tanah rizab Melayu dibangunkan hanya untuk tujuan pertanian dan saya rasa pembangunan seumpama itu merugikan mereka yang memiliki tanah berkenaan.

"Saya rasa pembangunan seperti ini iaitu pertanian, perlu diubah. Jika kawasan tanah rizab Melayu terbabit sesuai untuk pembangunan komersial dan perumahan, ia perlu dibenarkan.

"Langkah seumpama itu dilihat boleh mengelak tanah rizab tersebut terlepas ke tangan pihak lain," katanya bagi menjawab pertanyaan Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) ketika sidang Dewan Undangan Negeri di sini Isnin.

Mohd Shamsudin meminta kerajaan negeri menyatakan jumlah tanah rizab Melayu yang telah dibangunkan mengikut daerah di Selangor.

Abdul Khalid turut mencadangkan sebarang pembangunan di tanah rizab Melayu pada masa depan dilakukan selari dengan arus pembangunan ekonomi negeri kerana beliau yakin ekonomi Selangor akan terus berkembang ke arah urbanisasi. - BERNAMA

Artikel Lain