suria

Remaja Dikhuatiri Lemas Setelah Bot Terbalik

KEMAMAN: Seorang remaja berusia 13 tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Kampung Banggol, Ladang Pelatoh di sini petang Isnin.

Kejadian kira-kira pukul 5.30 petang Isnin berlaku apabila bot yang dinaiki mangsa, bapa dan adik perempuannya tiba-tiba terbalik di sungai yang merupakan kawasan banjir ketika mereka mahu pulang selepas memukat ikan.

Bagaimanapun bapa mangsa yang berusia 40-an sempat menyelamatkan adik perempuannya yang berumur 8 tahun manakala mangsa gagal diselamatkan.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Cheneh, Abdullah Embong ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 7.10 malam Isnin dan bergegas ke tempat kejadian.

"Operasi mencari dan mengesan mangsa kini sedang berjalan dengan bantuan penduduk kampung dan pihak polis," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain