suria

Polis Pulau Pinang Selamatkan 38 Warga Asing Dikurung Dalam Rumah

BUTTERWORTH: Polis Pulau Pinang berjaya menyelamatkan 38 lelaki warga Myanmar dan Bangladesh yang berada dalam keadaan lemah dipercayai kerana tidak diberikan makanan oleh sindiket yang membawa masuk warga asing, di sebuah rumah di sini Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Supt Mohd Sukri Awang berkata masing-masing 19 lelaki warga Myamar dan Bangladesh yang berusia 20 hingga 50 tahun diselamat pada pukul 3 petang hasil maklumat dan risikan pihaknya.

"Semasa serbuan di rumah itu terdapat 38 lelaki warga asing yang dikurung dan mereka dalam keadaan lemah berikutan tidak diberi makanan oleh sindiket yang membawa mereka masuk ke Malaysia.

"Siasatan juga mendapati mereka telah masuk ke Malaysia sejak 10 hari lepas dan dijanjikan kerja di kilang atau kedai makan dengan gaji lumayan," katanya kepada pemberita di sini malam Isnin.

Beliau berkata susulan kejadian itu, polis menahan empat lelaki dipercayai warga asing yang merupakan anggota sindiket membawa masuk pekerja asing ke negara ini.

Mohd Shukri berkata pihaknya sedang mengesan dalang sindiket itu yang dipercayai masih berada di negeri ini.

"Berdasarkan siasatan dan maklumat yang diperolehi, kita percaya dapat menyelesaikan kes itu dalam tempoh terdekat termasuk menahan dalang sindiket terbabit," katanya.

Katanya siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007. - BERNAMA

Artikel Lain