suria

Penambahbaikan Pemilihan Parti Tumpuan Pemuda Umno

Khairul Azwan Harun.
Khairul Azwan Harun.
Khairul Azwan Harun.

PETALING JAYA: Penambahbaikan sistem pemilihan parti merupakan antara usul yang bakal menghangatkan sesi perbahasan Persidangan Pergerakan Pemuda Umno bermula Rabu ini.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun berkata, isu berhubung proses pemilihan parti Oktober lalu menjadi antara topik utama yang dibangkitkan oleh perwakilan dan ahli akar umbi parti itu.

Menurutnya, usul yang akan dibentang untuk dibahaskan menerusi usul politik itu bakal menyentuh mengenai cadangan penambaikan sistem sedia ada terutamanya berkaitan pengenalan calon yang bertanding.

"Kita perlu belajar daripada pengalaman baru-baru ini khususnya mengenai calon-calon yang menawarkan diri bertanding.

"Perwakilan tidak kenal siapa yang bertanding di peringkat exco terutamanya bagi muka-muka baharu, lainlah yang bertanding peringkat Pusat kerana kebanyakannya membabitkan pemimpin berjawatan seperti menteri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi perbincangan meja bulat penyelarasan usul perbahasan Persidangan Pergerakan Pemuda di sini, Isnin.

Pemilihan Umno baru-baru ini yang menggunakan sistem 'Electoral College' pertama kali digunakan oleh parti itu bagi memberi ruang kepada lebih ramai ahlinya memilih pemimpin berikutan pindaan Perlembagaan Umno pada 2009.

Sebelum ini, pemilihan pemimpin pusat hanya ditentukan kira-kira 2,500 perwakilan di Perhimpunan Agung parti.

Mengulas lanjut mengenai perbincangan meja bulat itu, Khairul Azwan berkata, seramai 14 pembahas termasuk seorang wakil mahasiswa akan membahaskan empat usul utama iaitu agama, politik, ekonomi dan pendidikan.

"Ini merupakan kali pertama kali kita lakukan perbincangan seperti sebegini bagi menyelaras dan memperkemaskan usul yang ingin dibahaskan.

"Sebelum ini setiap pembahas akan tampil untuk berbahas mengikut citarasa masing-masing dan adakalanya berlaku pertindihan, jadi melalui perbincangan seperti ini pengisian perbahasan akan lebih sistematik," katanya.

Artikel Lain