suria

Lebih Banyak Kementerian Akan Dipanggil Beri Keterangan - Pengerusi PAC

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil beberapa lagi jabatan kerajaan dan kementerian untuk menerangkan mengenai perbelanjaan tambahan yang dicatatkan dalam Laporan Ketua Audit Negara. Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata antara jabatan yang akan dipanggil dalam sesi pendengaran ialah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Jabatan Kerja Raya dan Kementerian Pendidikan.

"Finas mempunyai rating yang tidak memuaskan, serta isu mengenai beberapa akaun yang tidak dihantar untuk diaudit.

"JKR pula perlu memberi penjelasan dalam pembinaan kedua Lebuh Raya Pantai Timur, yang mencatatkan perbelanjaan tambahan hampir RM800 juta," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa di Parlimen pada Isnin.

Lebuh raya berkenaan sebelum ini dianggarkan bernilai RM2.2 bilion namun selepas disiapkan ia mencatatkan perbelanjaan sebanyak RM2.9 bilion.

"Kami juga akan memanggil Kementerian Pendidikan untuk memberi penjelasan mengenai projek pembangunan di Universiti Malaysia Terengganu termasuk projek pembinaan kapal RD Discovery, yang lewat disiapkan tiga tahun daripada tempoh yang dijadualkan dan masih belum disiapkan hingga kini," kata Nur Jazlan.

Ditanya bila saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan, beliau berkata 'kemungkinan bulan hadapan' sambil menambah ramai yang akan bercuti pada bulan Disember.

Nur Jazlan turut mengesahkan siri siasatan yang dijalankan berdasarkan laporan audit sebelum ini masih belum siap kerana terdapat beberapa isu yang masih belum selesai, sebagai contoh kualiti pengawal keselamatan di sekolah.

"Sebab itu, kita mahu pihak kementerian datang dan memberi penjelasan. Ia bukan soal polisi namun pelaksanaanya dan kita mahu memberi pandangan kita dan menegaskan apa yang penting adalah untuk menyelesaikan masalah yang wujud. Jumlah wang yang dibazirkan sentiasa meningkat setiap kali audit dijalankan," katanya.

Nur Jazlan berkata Kementerian Pengangkutan perlu memberi penjelasan mengenai perbelanjaan melibatkan Lapangan Terbang Kota Kinabalu ketika mesyuarat PAC minggu lalu, namun kekangan masa menyebabkan jawatankuasa itu tidak dapat membincangkan secara mendalam mengenai isu kelewatan pembinaan projek KLIA 2 serta peningkatan kos yang dicatatkan.

Artikel Lain