suria

Dua Penganggur Mengaku Tidak Bersalah Pecah Masuk Pejabat

KUALA LUMPUR: Dua penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini Isnin terhadap pertuduhan pecah masuk empat pejabat dan mencuri pelbagai barang elektronik dan wang tunai membabitkan kerugian lebih RM222,000.

S. Mogan Raj, 22, dan T. Shiv Shanker, 41, bersama-sama didakwa melakukan pecah pejabat dengan memotong gril dan mengumpil pintu masuk serta mencuri 12 unit monitor, 11 unit CPU dan wang tunai RM700 milik Syarikat EAG Consulting Sdn Bhd dengan anggaran kerugian berjumlah RM60,000.

Mereka melakukan kesalahan itu di pejabat EAG Consulting di Taman Wangsa Melawati, Wangsa Maju di sini antara 7 malam 15 Oktober lepas hingga 8.30 pagi keesokannya.

Mogan turut didakwa terhadap satu lagi pertuduhan pecah pejabat iaitu bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas melakukan pecah pejabat dengan mengumpil pintu kayu dan pintu kaca serta mencuri 18 unit komputer riba, sembilan unit komputer multimedia dan LCD projektor yang kesemuanya bernilai RM122,383.

Ia milik bengkel Grafik Design Giat Mara Wangsa Maju di Taman Danau Kota, Setapak di sini antara 7 pagi hingga 9 malam pada 26 Mei, lepas.

Shiv turut didakwa melakukan pecah pejabat dengan mencuri empat unit komputer riba, empat unit komputer, lapan telefon bimbit, tujuh kamera digital, sebuah pencetak, tiga set GPS dan wang tunai RM22,500 milik Syarikat Bridges Sdn Bhd yang kesemuanya berjumlah RM40,000 di Taman Danau Kota, Setapak di sini antara 9 pagi pada 5 Julai lepas hingga 9 pagi keesokan hari.

Bagi satu lagi pertuduhan, Shiv didakwa melakukan pencerobohan pejabat dengan mengumpil pintu masuk gril di sebuah pejabat di Jalan Rampai Niaga 5, Rampai Bussiness Park, Wangsa Maju, di sini antara 12.30 tengah malam hingga 1.55 pagi pada 9 Mac lepas.

Bagi kesalahan pecah masuk pejabat, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda dan sebat manakala bagi kesalahan menceroboh, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 2 Januari depan untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S.Nithia manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Lain