suria

Chow Kekal Sebagai Pengerusi DAP P. Pinang

GEORGE TOWN: Penyandang jawatan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengekalkan jawatannya bagi penggal ketujuh, selepas berjaya mendapat undian paling tinggi dengan memperoleh 621 undi pada pemilihan DAP Pulau Pinang.

Beliau bakal dibantu oleh Timbalan Pengerusi, Jagdeep Singh Deo serta dua Naib Pengerusi, Dr P. Ramasamy dan Zairil Khir Johari.

Jagdeep berada di tangga kedua dengan memperoleh 475 undi, sementara Zairil yang juga muka baru di tempat keempat dengan mendapat 362 undi sementara Dr Ramasamy di tempat kesembilan dengan 331 undi.

Selepas pengumuman barisan muka baru itu, Chow berkata ini merupakan kali pertama beliau mendapat undian tertinggi dalam pemilihan DAP negeri dan beliau mengucapkan terima kasih kepada sokongan yang diberikan oleh para perwakilan.

Lim Hock Seng pula ditempat ketiga (372 undi), sementara adik kepada Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Hui Ying berada di kedudukan kelima, dengan 361 undi.

Exco Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh pula di tangga ketujuh dengan 336 undi, sementara bekas Adun Pulau Tikus, Koay Teng Haik yang digugurkan dalam pilihan raya baru-baru ini berjaya menempatkan diri di tangga kesepulu dengan memperoleh 3330 undi.

Phee, yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-62 pada Ahad berkata kemenangannya itu merupakan hadiah harijadi paling bermakna diterimanya pada tahun ini.

"Saya rasa seperti dilahirkan semula. Saya dilantik sebagai ahli jawatankuasa penggal lalu tetapi kini saya boleh berbangga kerana saya tersenarai dalam barisan kepimpinan melalui pintu utama," katanya.

Seramai 689 daripada 1,121 perwakilan menghadiri mesyuarat agung tahunan DAP Pulau Pinang yang diadakan pada Ahad.

Ia menyaksikan saingan, 46 calon merebut 15 jawatan ahli jawatankuasa negeri.

Antara pemimpin yang gagal menempatkan diri dalam barisan kepimpinan DAP negeri ialah, Danny Law, Chong Eng, R.S.N Rayer, Ng Wei Aik dan Jeff Ooi

Law, merupakan Exco Kerajaan Negeri yang tercicir kerana beliau berada di tangga ke-17 dengan memperoleh 288 undi.

Ahli Parlimen Tanjong, yang juga penyandang jawatan Setiausaha DAP negeri, berjaya meraih 267 undi sementara Chong yang juga setiausaha publisiti hanya mendapat 202 undi.

Adun Seri Delima, Rayer juga gagal menempatkan diri dalam barisan kepimpinan kali ini apabila dia berada di kedudukan ke-16 dengan memperoleh 289 undi sementara Ahli Parlimen Jelutong, Ooi hanya mendapat 120 undi.

Bagaimanapun, Law, Ng dan Rayer kemudiannya dilantik sebagai ahli jawatankuasa DAP negeri bersama-sama dengan Ahli Parlimen Bukit Mertajama, Steven Sim Chee Keong dan Adun Sungai Pinang Lim Siew Khim.

Artikel Lain