suria

Seorang Penjenayah Maut, Seorang Cedera Parah Dalam Cubaan Samun

Kawasan kejadian samun awal pagi Ahad dikawal ketat oleh pihak polis.
Kawasan kejadian samun awal pagi Ahad dikawal ketat oleh pihak polis.
Kawasan kejadian samun awal pagi Ahad dikawal ketat oleh pihak polis.

KUALA LUMPUR: Seorang penjenayah maut dan seorang lagi cedera parah selepas ditembak polis dalam cubaan samun terhadap sebuah keluarga di Taman Bukit Seputeh di sini.

Seorang lagi suspek berjaya melarikan diri.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi Ahad, tiga lelaki memecah masuk sebuah rumah di Persiaran Syed Putra 18 dan mengikat tiga mangsa iaitu pemilik rumah, isteri dan anak perempuan mereka.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, ketiga-tiga suspek tidak menyedari anak lelaki mangsa yang berusia awal 20-an, berada di rumah itu.

"Anak lelakinya berjaya menghubungi bilik operasi untuk memaklumkan bahawa rumah mereka telah dirompak dan suspek masih berada di dalam rumah," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Khairi berkata selepas menerima laporan itu, polis kemudiannya memaklumkan mesej itu kepada pasukan bertugas yang berada di kawasan kejadian pada waktu itu.

"Kira-kira 4.50 pagi, pasukan kami tiba di tempat kejadian dan salah seorang daripada kami berjaya menyelinap masuk dan memantau apa yang sedang berlaku di dalam rumah itu.

"Selepas mangsa membuka pagar automatik, suspek membawa mangsa masuk ke dalam rumah dan melepaskannya. Selepas pagar dibuka, pegawai-pegawai kami berjaya menyelinap masuk melihat suspek cuba melarikan diri dan mula melepaskan tembakan ke arah pegawai-pegawai kami.

"Pegawai-pegawai itu memaklumkan diri mereka sebagai polis tetapi mereka enggan menyerah diri sebaliknya seorang suspek terus melepaskan tembakan menyebabkan beberapa pegawai kita membalas tembakan tersebut," katanya.

Khairi berkata empat pegawai yang menembak dua suspek yang rebah di sisi sebuah kereta BMW yang dipandu oleh suspek yang diletakkan kira-kira lapan meter dari rumah tersebut.

Artikel Lain