suria

Pagar Elektronik Dipasang Di Sempadan Malaysia-Thailand Di Kelantan - Ahmad Zahid

KOTA BAHARU: Pagar elektronik bakal dipasang di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan bagi membanteras kegiatan penyeludupan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada dasarnya bersetuju dengan pemasangan pagar elektronik itu.

Pembinaan pagar itu melibatkan sejauh 121 kilometer sempadan sungai dan 20 kilometer sempadan darat, dari Pengkalan Kubor, Tumpat hingga ke Jeli, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Bersatu Menentang Jenayah anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini Sabtu.

"Kita akan perincikan (pembinaan pagar ini) apabila keputusan muktamad dibuat oleh Kementerian Kewangan dari segi kaedah perolehan dan kaedah pembayaran kerana ia melibatkan kos yang agak tinggi," katanya.

Ahmad Zahid berkata pihaknya akan mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri Kelantan kerana pembinaan pagar tersebut akan melibatkan tanah milik kerajaan negeri dan penduduk yang tinggal di kawasan sempadan berkenaan.

"Bagi kawasan yang menjadi tempat keluar masuk aktiviti perdagangan, kita akan membinanya mengikut kesesuaian aktiviti perdagangan kerana kita mengambil kira kawasan sempadan ini adalah kawasan antara nadi ekonomi dan sudah tentu kita perlukan input daripada kerajaan negeri," katanya.

Menurut Ahmad Zahid pembinaan pagar tersebut penting bagi membanteras kegiatan penyeludupan termasuk dadah, senjata api dan pemerdagangan manusia.

Ditanya mengenai kos pembinaan pagar tersebut, beliau berkata Kementerian Kewangan akan mengumumkannya dan ia dijangka boleh disiapkan dalam tempoh 36 bulan selepas kontrak pembinaan dikeluarkan.

Mengenai program Bersatu Menentang Jenayah, Ahmad Zahid berkata seramai 1.7 juta orang telah mendaftar menyertai program itu sebagai sokongan terhadap PDRM dalam membanteras jenayah di seluruh negara.

"Saya akan meletakkan sasaran sekurang-kurangnya tiga juta orang akan mendaftar untuk memberi sokongan kepada program ini supaya kita boleh bertindak membanteras jenayah di seluruh negara.

"Antara aktiviti yang akan dilakukan ialah memberi kesedaran kepada orang ramai khususnya terhadap kempen pencegahan jenayah supaya mereka bekerjasama dengan pihak berkuasa khususnya polis," katanya.

Beliau turut meminta kerajaan negeri dan orang ramai memberi kerjasama kepada polis Kelantan dalam menangani peningkatan kes jenayah seperti mencuri kenderaan, penagihan dadah dan rogol yang melibatkan golongan remaja. - BERNAMA

Artikel Lain