suria

Malaysia Menangi Kerusi Majlis IMO Untuk Penggal 2014-2015

KLUANG: Malaysia memenangi kerusi majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bagi kategori C untuk penggal 2014-2015, pada persidangan agung IMO di London, Sabtu.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semasa mengumumkan perkara itu berkata Malaysia yang menawar diri merebut kerusi berkenaan berjaya memperoleh 125 undi daripada 170 anggota dalam kategori berkenaan.

"Malaysia berjaya dipilih semula buat kali kelima berturut-turut yang sekali gus mencerminkan kegemilangan negara dalam memainkan peranan bagi sektor maritim di pentas dunia.

"Selepas memenangi kerusi Anggota Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi penggal 2013-2016 bagi kategori Bahagian III baru-baru ini, kejayaan terbabit merupakan pencapaian yang amat membanggakan negara kerana ia satu pengiktirafan dan penghargaan di kalangan masyarakat maritim di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program berkhatan dan penutup 1Komuniti 1JPJ Parlimen Sembrong, di Felda Kahang Barat, di sini, Ahad.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata rombongan delegasi Malaysia diketuai Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom Datuk Seri Zakaria Sulong dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Long See Wool.

Beliau berkata pemilihan majlis itu merupakan program utama dalam perhimpunan agung IMO yang berlangsung setiap dua tahun dan selain pemilihan, perhimpunan terbabit turut membuat ketetapan dasar berhubung hala tuju dan kegiatan IMO.

IMO merupakan agensi pakar yang ditubuhkan di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan bertanggungjawab terhadap hal-hal berkaitan keselamatan maritim, keberkesanan pelayaran, pencegahan serta kawalan pencemaran laut yang dihasilkan kapal.

Sementara itu, mengulas pelantikan pendakwah terkenal, Ustaz Mohammad Kazim Elias sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Hishammuddin berkata ia menunjukkan sikap terbuka dan keberanian Umno dalam melakukan transformasi.

Selaku Naib Presiden, Hishammuddin menegaskan beliau memberi sokongan padu kepada Mohammad Kazim dan menasihatkannya supaya tidak lemah semangat dan menoleh ke belakang apabila dikecam sesetengah pihak.

"Apabila terdapat serangan peribadi terhadap seseorang yang diberi penghormatan di dalam Umno maka ini menunjukkan mereka terutamanya pembangkang bimbang dengan Umno yang inklusif dan terbuka dalam memilih pemimpin," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain