suria

Kaunseling Trauma, Rehabilitasi, Terapi Terbaik Pulih Mangsa Perhambaan

KUALA LUMPUR: Rawatan kaunseling trauma dan rehabilitasi adalah antara terapi utama yang berkesan untuk memulihkan individu yang menjadi mangsa perhambaan dan pemerdagangan orang.

Ahli Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran Datuk Dr Raj Abdul Karim berkata kaunseling trauma menjadi satu keperluan psikologi yang amat penting bagi membantu mangsa memproses kembali ingatan dan membina keupayaan diri.

Memberikan contoh kes Siti Aishah Abdul Wahab, rakyat Malaysia yang dikatakan dijadikan hamba selama 30 tahun di London, beliau berkata tempoh 30 tahun adalah begitu lama yang boleh mewujudkan kecelaruan melampau di dalam diri mangsa.

"Melihat kepada kes Siti Aishah, cara terbaik untuk memulihkan beliau adalah melalui kaunseling trauma...namun ia (pemulihan) bukan boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana pakar kaunseling perlu meneliti keseluruhan kes dan mengumpul maklumat berkaitan mangsa.

"Apa yang penting mangsa perlu diberikan keyakinan sepenuhnya bahawa dia kini berada dalam keadaan yang selamat seterusnya membuka ruang untuk merehatkan minda dan dirinya sebelum dia diajukan pelbagai soalan," katanya.

Dr Raj berkata mangsa perhambaan juga perlu diberikan terapi rehabilitasi, iaitu proses berterusan untuk mengembalikan keupayaan seseorang pesakit dengan mengurangkan ketidakupayaan fizikal dan mental akibat dari sesuatu penyakit, kecederaan ataupun peristiwa yang berlaku.

Jelasnya terapi rehabilitasi boleh membantu mangsa menerima realiti dan kembali stabil.

"Selain itu tugas memulihkan mangsa juga berkait rapat dengan keluarga, justeru keluarga juga antara individu penting yang biasanya perlu diberikan kaunseling.

"Ia perlu supaya keluarga dapat berkongsi rasa dan menerima keadaan mangsa seterusnya menjadi antara benteng kuat untuk membuatkan mangsa berasa selamat," katanya.

Bagaimanapun Dr Raj berkata bagi kes Siti Aishah, beliau yakin pihak terlibat di London akan memberikan rawatan terbaik kerana mereka berada di negara yang sama dengan Siti Aishah, yang membolehkan mereka mendapatkan maklumat terperinci berkaitan kes itu.

Sementara itu Pakar Psikologi Jabatan Psikologi Perkembangan Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya Prof Madya Dr Mariani Mohd Nor berkata, mana-mana mangsa yang terlibat dalam kes perhambaan dan sebagainya perlu dikenal pasti jenis penderaan yang dilaluinya sama ada penderaan fizikal, mental atau seksual.

Beliau berkata setelah dikenal pasti, proses pemulihan perlu dilakukan secara berperingkat untuk menstabilkan keadaan mangsa terlebih dahulu.

"Terdapat pelbagai jenis penderaan, ia berbeza kategori namun tetap mencetuskan trauma kepada mangsa...justeru pengenalpastian jenis penderaan adalah penting untuk menentukan rawatan yang sesuai kepada mangsa," katanya.

Mengenai kes Siti Aishah, Dr Mariani berkata, wanita itu yang dikatakan pengikut kepada fahaman pelampau komunis berhaluan kiri, perlu diberikan pendekatan rawatan yang agak berbeza berdasarkan fahaman yang diikutinya dan tempoh perhambaan yang dilalui terlalu lama di negara asing.

"Meskipun rakyat Malaysia, Siti Aishah sudah berada lama di negara luar yang cuacanya, budayanya, masyarakatnya sangat berbeza dengan apa yang ada di negara ini.

"Justeru, perkara utama perlu dilakukan ialah memulihkan dahulu dirinya agar beliau dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di Malaysia dan menerima masyarakatnya sendiri sebelum beliau diberikan rawatan untuk memperbetulkan fahamannya," katanya.

Dr Mariani berkata kerajaan dan keluarga mangsa perlu memainkan peranan penting memastikan kaunselor yang dipilih untuk memperbetulkan fahaman dan merujuk kes Siti Aishah adalah kaunselor yang benar-benar berpengalaman dan mempunyai fahaman positif untuk memulihkan fahaman komunis yang menebal dalam diri mangsa.

Pakar Sejarah yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Ramlah Adam pula berpendapat isu budaya dan agama menjadi perkara utama untuk ditekankan dalam proses pemulihan Siti Aishah.

"Soal budaya masyarakat Melayu Islam...itu antara yang perlu diberi perhatian untuk memastikan beliau yang sudah lama berada di negara asing boleh kembali menjadi rakyat Malaysia dan meneruskan kehidupan sebagai umat Islam yang sewajarnya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain