suria

Pemilihan Jawatan 3 Naib Presiden, 23 CWC MIC Bermula

MELAKA: Pemilihan bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC bermula di Hotel Equatorial di sini pada pukul 11.20 pagi Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya, Tan Sri K. Kumaran berkata, seramai 1,452 perwakilan yang layak mengundi, dengan ahli-ahli CWC yang dahulu mengundi.

Lapan calon termasuk penjawat kini iaitu Datuk M. Saravanan dan Datuk Seri SK Devamany telah bertanding untuk tiga jawatan naib presiden.

Yang lain ialah Datuk T. Mohan, Datuk SA Vigneswaran , Datuk S. Balakrishnan, Datuk S. Sothinathan , Datuk Jaspal Singh dan James CS Selvaraja .

Mengikut rekod, 88 calon bertanding untuk 23 jawatan dalam CWC.

Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel dan anggota CWC yang lain adalah antara yang pertama mengundi.

Ini adalah kali pertama perhimpunan agung MIC diadakan di Melaka tetapi pihak media tidak dibenarkan untuk memerhati proses pengundian, hanya perwakilan dibenarkan masuk ke dewan.

Seorang pegawai parti berkata, keputusan dijangka akan diumumkan pada pukul 8 malam.

Terdahulu, pintu masuk ke Equatorial Hotel penuh sesak , dengan ejen calon-calon berbaris untuk menyambut para perwakilan.

Laporan tahunan dan juga laporan kewangan untuk tahun 2012 telah diluluskan sebelum pengundian bermula.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan perhimpunan parti itu pada Ahad.

Artikel Lain