suria

Lelaki Dengan 10 Rekod Jenayah Diberkas Samun Kedai Runcit

NIBONG TEBAL: Seorang lelaki yang dikehendaki polis atas kesalahan samun dan pecah rumah diberkas ketika menyamun sebuah kedai runcit di Sungai Bakap, di sini malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata dalam kejadian 8.30 malam itu, suspek yang bersenjatakan sebilah pisau masuk ke dalam kedai dan mengugut akan membunuh pemilik kedai jika mangsa cuba melawan.

"Mangsa berusia 42 itu yang bimbang dengan keselamatannya bertindak melarikan diri dan memaklumkan kejadian kepada anggota polis yang bertugas di pondok polis kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

"Dua anggota polis kemudian bergegas ke situ dan suspek yang menyedari kehadiran polis meluru keluar dari kedai namun dapat diberkas," katanya dalam sidang media, di sini Jumaat.

Pemeriksaan polis terhadap suspek berusia 40 tahun itu menemukan wang tunai RM300 serta pelbagai barangan lain yang disamun dari kedai berkenaan, katanya.

Menurut Shafien siasatan awal polis mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau bersabit dadah dan jenayah serta dikehendaki polis bagi membantu siasatan sekurang-kurangnya enam kes samun dan pecah rumah di sekitar daerah ini.

Mengulas kes lain, Shafien berkata seorang tukang cat berusia 46 tahun cedera selepas ditikam oleh seorang lelaki yang menceroboh rumahnya di Taman Sungai Bakap di sini, dalam kejadian pukul 2 petang Khamis.

"Kejadian berlaku apabila mangsa pulang untuk mengambil barang dan mendapati ada seorang lelaki di dalam rumahnya. Suspek yang terkejut melihat pemilik rumah terbabit pulang bertindak menyerang mangsa.

"Berlaku pergelutan dan ketika itu mangsa ditikam suspek menggunakan senjata tajam sebelum lelaki itu melarikan diri," katanya.

Mangsa kini dirawat di Hospital Sungai Bakap dan keadaannya dilapor stabil, katanya.

Menurut Shafien usaha mengenal pasti suspek sedang dijalankan dan berdasarkan maklumat awal suspek berbadan tegap dan dianggar berusia dalam lingkungan 30-an. - BERNAMA

Artikel Lain