suria

Perhimpunan Agung Umno - Medan Terus Agenda Transformasi, Rapat Barisan

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno 2013 yang akan berlangsung 2 hingga 7 Disember ini dijangka memberi tumpuan kepada usaha meneruskan agenda transformasi yang dibawa presiden selain merapatkan lagi barisan dalam mendukung dan memperjuangkan ideologi parti.

Perhimpunan itu, yang diadakan selepas berlangsungnya pilihan raya umum ke-13 dan pemilihan parti, dilihat bakal menimbangkan beberapa pendekatan baharu bagi membolehkan parti itu muncul sebagai wira seluruh rakyat Malaysia dan bukan hanya untuk bangsa Melayu semata-mata.

"Apa yang perlu difikirkan sekarang adalah bagaimana menterjemah dan melaksanakan ideologi Umno berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air dalam kerangka baharu," kata penganalisis politik Datuk Dr Zainal Abidin Borhan.

Beliau berkata selepas 56 tahun merdeka, Umno terbukti telah mendepani pelbagai masalah negara namun masih perlu mencipta imej bahawa perjuangan parti itu turut memberi kelebihan kepada kaum-kaum lain.

Ditanya cabaran terbesar Umno masa kini, Zainal Abidin berkata ia menjawab pelbagai masalah negara selain berdepan dengan hentaman pembangkang dari setiap sudut.

"Umno sekarang berdepan pluralisme dan liberalisme yang juga sudah mempengaruhi pakatan pembangkang. Ia meresap dalam kalangan bukan Melayu atas nama hak asasi manusia. Bagaimana ini perlu ditangani. Jika dibiarkan berterusan, ia akan menggugat kedudukan Islam, raja dan Melayu dalam perjuangan parti termasuk Perlembagaan Persekutuan," jelasnya.

Tambahnya, sudah sampai masanya golongan intelektual diberi ruang menjadi wakil penerangan Umno dari peringkat pusat hingga ke akar umbi supaya lebih garang berhujah mengenai pelbagai isu, dan tidak membiarkan hanya segelintir pemimpin 'terkontang-kanting' di perbatasan.

Dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang, Zainal Abidin berkata Umno perlu melihat parti itu sebagai pelindung masyarakat sama ada di bandar atau luar bandar, selain terus mendekati golongan muda pelbagai bangsa.

Melalui cara itu, jurang yang wujud dalam kalangan masyarakat Melayu di setiap peringkat juga dapat dikurangkan, katanya.

Dr Sivamurugan Pandian pula berpendapat perhimpunan kali ini penting dalam menentukan perancangan Umno untuk tempoh lima tahun akan datang khususnya menjelang pilihan raya umum ke-14.

Selain memastikan jalinan hubungan setiap anggotanya kekal utuh lebih-lebih lagi selepas pemilihan parti, katanya, Umno perlu melihat bagaimana pasukan yang mendukung saf kepimpinan parti akan terus mantap dalam perjalanan arus politik perdana.

"Minimumkan masalah dalaman, dengan itu strategi di luar akan diperkukuhkan. Jika tumpuan diberi kepada mengukuhkan parti, ia sekaligus memberi kemenangan moral dan memudahkan proses berdepan dengan pembangkang," katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia itu berkata pasukan yang mantap akan lahir jika anggota parti benar-benar ikhlas dalam perjuangan serta memahami aspirasi Umno yang sebenarnya.

Selain itu, beliau turut menyarankan Umno mengukuhkan hubungan dengan pihak luar seperti pelbagai agensi, badan bukan kerajaan serta individu berkepentingan supaya mereka menjadi mesra Umno dan boleh bertindak sebagai benteng kekuatan parti.

Kedua-dua anggota akademik itu juga sependapat Umno perlu bersifat lebih terbuka mendengar suara generasi muda dalam parti selain menegaskan perjuangan bukan hanya bermusim sewaktu perhimpunan agung dan pilihan raya, tetapi perlu dilakukan secara berterusan.

Kata mereka, hanya dengan cara itu rakyat akan melihat Umno bersungguh-sungguh menjadi pelindung dan penaung masyarakat Malaysia sekaligus memenangi hati mereka pada pilihan raya umum akan datang.

Perhimpunan Agung Umno tahun ini akan didahului dengan Forum Antarabangsa pada 2 dan 3 Disember, diikuti taklimat tertutup Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak kepada perwakilan pada 3 Disember.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merasmikan persidangan tiga sayap pada sebelah malam 3 Disember, sebelum persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri membuka tirai keesokan harinya.

Perhimpunan agung parti itu akan berlangsung 5 hingga 7 Disember. - BERNAMA

Artikel Lain