suria

Pengusaha Restoran Dipenjara 20 Tahun Sebabkan Kematian Along

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas seorang pengusaha restoran yang menyebabkan kematian seorang along (ceti haram) dua tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah membuat keputusan itu selepas Keng Leng Cheng, 28, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang ditawar pihak pendakwaan bulan lepas. Abdul Alim memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 16 Ogos 2011.

Keng didakwa menyebabkan kematian Phua Wei Loon, 27, di sebuah rumah kedai di Jalan PJS 5/26, Pusat Dagangan Petaling Jaya Selatan antara 5.27 petang dan 6.56 petang pada 15 Ogos 2011 bersama dua lagi yang masih bebas mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan asal terhadap Keng ialah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang membawa hukuman mati mandatori.

Keng diwakili peguam Gooi Hock Seng manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norhani Muhamad Adzhar.

Menurut fakta kes, Phua ditemui mati dalam keadaan terbaring berlumuran darah dengan kesan kelar di bahagian badan dan leher dalam tandas di premis di mana kejadian berlaku.

Hasil bedah siasat oleh Dr Prashant Naresh dari Pusat Perubatan Universiti Malaya mendapati terdapat banyak kesan luka di bahagian muka, leher, dada, bahu dan belakang badan mangsa.

Siasatan mendapati mangsa ditetak tertuduh dan dua lagi dengan senjata tajam selepas berlaku pertengkaran yang berlarutan kepada pergaduhan selepas tertuduh tidak berpuas hati dengan kenyataan si mati yang mahu merampas peralatan perniagaannya kerana gagal membayar balik wang pinjaman yang dituntut pada hari kejadian. - BERNAMA

Artikel Lain