Malaysia Perlu Bertegas Dalam Hal Pertahanan - Muhyiddin - Semasa | mStar

Malaysia Perlu Bertegas Dalam Hal Pertahanan - Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika tiba di Persidangan Institut Ketahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS), Kuala Lumpur, Khamis. Turut hadir, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein (kiri) dan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin (kanan). -fotoBERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika tiba di Persidangan Institut Ketahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS), Kuala Lumpur, Khamis. Turut hadir, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein (kiri) dan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin (kanan). -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Walaupun Malaysia merupakan sebuah negara yang cintakan keamanan, namun ia perlu mampu bertindak balas dengan cara yang mengatasi sifat mesranya apabila nyawa rakyatnya terancam, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata tentera dan polis negara ini juga perlu berupaya menghapuskan musuh dengan tangkas dan garang kerana ini akan menjadi penghalang dan pengajaran bagi mana-mana pihak yang berniat mencerobohnya pada masa akan datang.

"Memanglah, kita tidak pernah dikenali sebagai penceroboh dan selalunya, diplomasi dan sikap sabar menjadi pilihan kita apabila berdepan dengan penceroboh.

"Tetapi, apabila cara ini sampai kepada hadnya, dan apabila nyawa rakyat kita terancam atau menjadi korban, kita perlu mampu bertindak balas dengan cara yang mengatasi sifat mesra kita," katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam ucaptama bertajuk 'Ketahanan Nasional Ke Arah Menjadi Sebuah negara maju' ketika merasmikan Persidangan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) 2013 di sini Khamis.

Muhyiddin menegaskan bahawa pasukan keselamatan Malaysia perlu memiliki daya tahan untuk terlibat dengan operasi keselamatan yang berlarutan, bukan sahaja di tanah air sendiri, tetapi juga di luar negara, apabila diperlukan.

"Sesungguhnya, peristiwa Lahad Datu menjadi pembuka mata kepada negara dan pasukan keselamatan kita," katanya bagi merujuk kepada pencerobohan pengganas bersenjata di Sabah awal tahun ini, yang meragut nyawa 10 anggota keselamatan.

Beliau mengingatkan pasukan keselamatan dan polis negara ini tentang perlunya mereka sentiasa berwaspada serta kerap menjalani litihan simulasi dan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

"Melengkapkan diri sepenuhnya dengan senjata dan kelengkapan terkini semata-mata tidak mencukupi sekiranya seseorang itu tidak memiliki ketahanan mental dan kemahiran yang diperlukan," kata beliau.

Muhyiddin juga menegaskan bahawa keselamatan negara tidak boleh dipisahkan daripada kestabilan politik, kejayaan ekonomi dan keharmonian sosial.

"Tanpa unsur-unsur ini, negara kita tidak akan mampu mencegah pihak yang berpotensi menjadi musuh kita daripada menceroboh dan melemahkan kita," katanya.

Muhyiddin juga menyentuh tentang pentingnya bagi Malaysia memiliki kemampuan pertahanan secara menyeluruh, yang bukan sahaja melibatkan angkatan tentera, tetapi juga polis, agensi penguatkuasaan lain dan semua penduduknya.

Malah, kata beliau, konsep pertahanan menyeluruh atau HANRUH telah diwujudkan sejak 1986 lagi iaitu ketika ancaman Parti Komunis Malaya masih berleluasa di negara ini.

Beliau berkata usaha meningkatkan daya tahan sebagai sebuah negara ketika berlaku sesuatu krisis, menuntut kerjasama erat dalam bidang keselamatan antara pasukan keselamatan dan semua agensi penguatkuasaan bagi membolehkan mereka memberi respons dengan berkesan, cekap dan cepat.

"Saya percaya kerjasama seperti ini perlu diperluaskan juga dan dipupuk dalam respons yang diberi terhadap operasi kemanusiaan dan bantuan apabila berlaku sesuatu kejadian yang menjejaskan negara ini dan apabila bantuan kita diperlukan di tempat lain," katanya.

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

Artikel Lain

Nelayan temui duit dalam perut ikan