suria

Kenaikan Gaji Melampau Bukti 'Pengorbanan' Dilaungkan Pembangkang Hanya Lakonan - Idris

MELAKA: Kenaikan melampau gaji menteri besar, exco, speaker, timbalan speaker dan anggota Dewan Undangan Negeri Selangor memperlihatkan 'pengorbanan untuk rakyat' dilaungkan pembangkang hanya lakonan, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata ternyata kata-kata pemimpin pembangkang di Selangor sebelum ini bahawa mereka pemimpin rakyat yang sejati, tidak perlu ganjaran dan habuan hanyalah 'omong kosong' untuk memperdaya rakyat.

Katanya tindakan menaikkan gaji itu juga bukanlah sesuatu yang boleh memberikan keuntungan besar kepada rakyat, sebaliknya ia meningkatkan kos pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang sepatutnya berhemah dalam mentadbir urus wang rakyat.

"Pada masa negeri di bawah Barisan Nasional, amat berhati-hati mengawal tadbir urus kewangan secara berhemah, mereka (pembangkang) tampak belang mereka rakus, begitu boros belanjakan wang rakyat untuk kesenangan tekak dan peribadi sendiri," katanya kepada pemberita di Ayer Keroh di sini Jumaat.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Berkhatan Beramai-ramai dan Pelancaran Produk Rapideclam disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.

Turut hadiri isteri Mohd Khalil, Toh Puan Zurina Kassim, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mat Diah dan Pengarah Urusan MedicFit Technology Sdn Bhd Datuk Rahadian Mahmud Tun Mohd Khalil.

Semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji dan elaun antara 87 peratus hingga 373.3 peratus bagi menteri besar, exco, speaker, timbalan speaker dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor berkuatkuasa 1 Januari depan.

Pindaan gaji kali terakhir dilakukan pada 2011.

Idris berkata dengan perkembangan terbaharu itu, rakyat boleh menilai sendiri cara sebenar bagaimana pembangkang mentadbir sebuah negeri dan sepatutnya tidak lagi diberikan peluang mentadbir di mana-mana negeri pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Suatu tindakan yang tidak bijak sekiranya terus memilih mereka pada PRU akan datang atau mana-mana pilihan raya kecil selepas ini terutamanya di Selangor...saya memberi jaminan Melaka tidak akan melakukan perkara sebegitu kepada rakyatnya sendiri," katanya.

Sementara itu, Idris berkata pelantikan exco dalam kalangan Adun MCA di Melaka akan dilakukan selepas selesai pemilihan agung parti itu pada 21 Dis depan bagi memberi lebih ruang kepada parti itu membuat penyusunsan semula.

"Pemilihan itu ada pertandingan jawatan peringkat tertinggi parti jadi saya nak lihat dulu bagaimana, beri lebih masa dan ruang kepada mereka (MCA)...ini juga boleh beri saya lebih masa meneliti semua calon yang ada dan rancang sebaiknya," katanya.

Sebelum ini, Idris dilaporkan berkata akan mengumumkan Adun MCA yang bakal dilantik Exco selepas sidang Dewan Undangan Negeri selesai pada Khamis.

Tiga wakil rakyat MCA di Melaka ialah Adun Bemban Datuk Ng Choon Koon; Adun Machap Datuk Lai Meng Chong; dan Adun Klebang Lim Ban Hong. - BERNAMA

Artikel Lain