suria

Umno Kalabakan Bantah Mesyuarat Pemilihan Sabtu Ini

Abdul Ghapur
Abdul Ghapur
Abdul Ghapur

TAWAU: Umno Bahagian Kalabakan membantah arahan terbaharu Umno pusat supaya mesyuarat pemilihan Jawatankuasa Pergerakan Wanita Umno Kalabakan diadakan semula Sabtu ini kerana surat diterima kurang daripada tujuh hari tarikh persidangan.

Ketua Umno Bahagian itu Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh berkata jika mesyuarat itu diadakan pada tarikh berkenaan mereka akan memboikotnya disebabkan ia bertentangan dengan Peraturan Persidangan Umno.

"Menurut Peraturan Persidangan Umno 6.3, notis bertulis kepada semua perwakilan hendaklah dikeluarkan oleh setiausaha Bahagian dalam tempoh tidak lewat tujuh hari daripada tarikh persidangan," katanya dalam kenyataan di sini Khamis.

Abdul Ghapur yang juga anggota Parlimen Kalabakan berkata arahan setiausaha agung Umno supaya mesyuarat diadakan semula terkandung dalam surat bertarikh 26 November dan Umno Bahagian menerima surat arahan itu daripada Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri, semalam.

Notis bertulis hanya dapat dikeluarkan oleh setiausaha Bahagian dalam tempoh tiga hari dan ia menyalahi peraturan persidangan, katanya.

Sehubungan itu, Umno Bahagian telah menghantar surat bantahan dan para perwakilan Wanita Umno Bahagian itu juga akan mengeluarkan bantahan yang sama.

"Jika mesyuarat pemilihan semula itu masih perlu untuk diadakan, kami mencadangkan agar ia diadakan ada 21 Disember iaitu selepas Perhimpunan Agung Umno minggu depan dan kami mahu para pemerhati mesyuarat itu daripada Umno pusat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain