suria

Umno Gopeng Tolak Keputusan Pemilihan Semula Jawatankuasa Pergerakan Wanita

IPOH: Jawatankuasa Umno Bahagian Gopeng sebulat suara menolak keputusan Ibu Pejabat Umno pusat supaya pemilihan bagi kesemua jawatan dalam jawatankuasa Pergerakan Wanita Umno bahagian itu diadakan semula Sabtu ini.

Ketua Umno Bahagian Gopeng Datuk Hamzah Kassim menegaskan mesyuarat pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian pada 12 Oktober lepas adalah sah dan mengikut kehendak perlembagaan Umno dan peraturan persidangan. "Mesyuarat jawatankuasa khas Umno Gopeng meminta jawatankuasa pemilihan pusat mengkaji semula dokumen berkaitan termasuk senarai kehadiran perwakilan pada hari tersebut," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas Umno Bahagian Gopeng malam Rabu.

Katanya Umno Gopeng kesaldengan arahan yang dikeluarkan itu kerana tanpa menyatakan sebarang alasan.

Beliau berkata Umno Gopeng berasa hairan kerana bukti-bukti kukuh jumlah keluar mengundi dan kertas undi yang telah dikeluarkan tidak disemak sedangkan kedua-dua perkara itu menjadi bukti utama sama ada berlaku sebarang penyelewengan ataupun tidak dalam pemilihan lepas.

"Pemilihan (semula) tidak sepatutnya diadakan dan (kami) memohon supaya diberi keadilan dan masalah ini tidak sampai ke peringkat akar umbi," katanya.

Dalam pemilihan sayap parti pada 12 Oktober lalu, Hamidah yang juga Ketua Penerangan Wanita Umno pusat gagal mempertahankan jawatan Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng apabila tewas kepada bekas Ketua Puteri Umno bahagian itu, Juliliyana Mohd Junid dengan majoriti 20 undi.

Sementara itu, Juliliyana berkata beliau dan pengadu diminta menghadirkan diri ke Ibu Pejabat Umno pusat pada Isnin lepas untuk berbincang mengenai perkara tersebut.

"Keesokan harinya (26 Oktober) saya dapat berita dari jawatankuasa pemilihan bahawa pemilihan semula jawatakuasa akan diadakan semula Sabtu ini," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Perhubungan Umno Perak Datuk Khusairi Abdul Talib berkata Jawatankuasa Pengurusan Badan Perhubungan Umno negeri menyerahkan kepada Ibu Pejabat Umno dan Jawatankuasa Pemilihan parti untuk mengendalikan pemilihan semula jawatankuasa PergerakanWanita Umno Bahagian Gopeng. -BERNAMA

Artikel Lain