suria

Reman Ketua Kumpulan Tuhan Harun Dilanjut Seminggu Lagi

KUANTAN: Reman ke atas ketua kumpulan ajaran sesat, Tuhan Harun, Harun Mat Saad dilanjutkan seminggu lagi untuk siasatan polis berhubung kes pembunuhan Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Ahmad Rafli Abdul Malek.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata, reman ke atas isteri ketiga Harun, Azida Mohd Zol dan pemandu Nor Hairi Harun turut dilanjutkan sehingga 4 Disember.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan.

Harun, 47, Azida, 30, dan Nor Hairi, 41, ditahan di Johor pada Rabu minggu lepas.

Ketua kumpulan ajaran sesat itu dikehendaki bagi mengenal pasti sama ada mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan pegawai Jaip atau tidak.

Harun turut dikehendaki oleh Mahkamah Syariah Kuantan kerana gagal menghadirkan diri untuk pengurusan kes beliau pada 12 November lalu.

Pada 10 November lalu, Ahmad Rafli, 49, ditembak mati di rumahnya di Indera Mahkota 2, di sini.

Artikel Lain