suria

Polis Tumpas Kumpulan Edar Dadah Di Tokong

MUAR: Polis berjaya membongkar satu kumpulan pengedaran dadah yang berselindung di sebalik tokong berikutan penahanan lima orang termasuk sepasang suami isteri dalam serbuan di sebuah tokong di Parit Amal, Jalan Joned, di sini, pada 17 November lepas.

Ketua Polis Daerah, ACP Azman Ayob berkata dalam serbuan kira-kira 8.50 pagi itu, polis merampas dua jenis dadah iaitu empat paket syabu seberat 20 gram dan heroin 112 gram yang kesemua dianggar bernilai RM44,000.

"Kesemua dadah itu disorokkan di lantai dan dalam dua bekas makanan ringan di belakang tokong yang agak tersorok daripada pandangan awam.

"Dalam serbuan itu polis turut merampas wang tunai sebanyak RM5,700 dipercayai hasil jualan dadah," katanya dalam sidang media di sini Khamis.

Menurutnya hasil siasatan mendapati, kumpulan berkenaan telah menjadikan tokong berkenaan sebagai tempat untuk menjalankan kegiatan mereka sejak tiga bulan lalu.

Katanya, kesemua suspek yang berasal dari Muar itu berusia antara 35 hingga 57 tahun dan hasil ujian air kencing juga mendapati dua daripada mereka positif dadah.

"Seorang suspek yang berumur 35 tahun, pernah mempunyai rekod jenayah dan keempat-empat suspek lelaki tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap, manakala suspek wanita bekerja di sebuah pasar raya di bandar ini," katanya.

Menurutnya, kesemua mereka kini ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain