suria

Pelajar Maut, Rakan Kritikal Dilanggar Kereta

DUNGUN: Seorang pelajar maut manakala rakannya parah setelah motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Kilometer 84.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di persimpangan lampu isyarat hadapan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin di sini Khamis.

Kejadian kira-kira 2 petang itu berlaku ketika dua pelajar berkenaan dalam perjalanan untuk ke kampus mereka.

Akibat rempuhan itu, Muhammad Asraf Hamidin, 18, pelajar Diploma Teknologi Komputer yang berasal dari Batu 17, Rawang, Selangor maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Rakan sekelasnya, Muhammad Fathil Deraman, 18, yang berasal dari Kampung Pancur Kemumin, Kelantan cedera parah di bahagian kepala dan dilaporkan kritikal.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan laporan berhubung kejadian itu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat manakala rakannya yang cedera parah di bahagian kepala dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut. - BERNAMA

Artikel Lain