suria

Kenaikan Cukai DBKL: MP Segambut Dakwa Timbalan Menteri W.Persekutuan Cuba Kelirukan Dewan

Loga Bala Mohan
Loga Bala Mohan
Loga Bala Mohan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang menuduh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr J. Loga Bala Mohan cuba mengelirukan Dewan Rakyat berhubung kenyataannya mengenai kenaikan kadar cukai taksiran di Kuala Lumpur.

Lim Lip Eng (DAP-Segambut) turut mencadangkan agar Dr Loga Bala yang juga seorang senator dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) kerana kenyataannya bercanggah dengan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

"Timbalan Menteri (Dr Loga Bala) telah membuat pengumuman semalam (Rabu) bahawa ada berita baik di mana kenaikan kadar taksiran cukai akan ditangguhkan.

"Pemberita di luar dewan sangat terkejut dengan kenyataan beliau dan mereka turut menghantar 'Whatsapp' kepadanya untuk bertanya sama ada berita berkenaan telah disahkan atau tidak.

"Timbalan Menteri telah mengesahkan perkara tersebut dan berkata ia akan ditangguhkan sehingga Mac tahun hadapan," kata Lim ketika membahaskan mengenai Belanjawan 2014 diperingkat jawatankuasa pada Khamis.

Bagaiamanapun, Lim mengemukakan kenyataan Tengku Adnan dalam laporan berita pada Khamis, yang menyatakan kenaikan kadar cukai Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) akan berjalan seperti yang dirancang mulai Januari tahun hadapan.

"Saya mencadangkan agar timbalan menteri dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Beliau telah mengelirukan Dewan dan berbohong kepada semua penduduk di Kuala Lumpur," katanya.

Cadangan Lim turut disokong oleh Teresa Kok (DAP-Seputeh), yang menjadi penyokong kepada usul berkenaan.

Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kemudian berkata beliau akan membuat keputusan mengenai usul yang dikemukakan oleh Lim selepas mendapat maklum balas daripada pihak kementerianb.

"Saya akan membuat keputusan mengenainya sama ada pada hari Isnin atau Selasa," katanya.

Sebelum ini dilaporkan penduduk di Kuala Lumpur melahirkan rasa terkejut mereka dengan cadangan kenaikan cukai taksiran, yang menunjukkan kadar taksiran mereka meningkat daripada 100% hingga 265 %.

Pada Rabu, Dr Loga Bala memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa pelaksanaan kenaikan kadar cukai taksiran tersebut ditangguhkan sehingga pihak kementerian selesai mendapat maklum balas daripada orang ramai.

Bagaimanapun, pada Khamis Tengku Adnan dilaporkan berkata notis cukai taksiran yang baru di bandar raya ini akan dikeluarkan seperti yang dirancang mulai Januari tahun depan.

Artikel Lain