suria

Idris Jusoh Sedia Jumpa PAC Jelaskan Kelemahan Projek

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh sedia berjumpa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk memberi penjelasan berhubung kelemahan projek penswastaan perkhidmatan keselamatan di sekolah, seperti dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Beliau berkata sebagai menteri, beliau bersikap terbuka dan sedia menerangkan perkara sebenar dan mengorak langkah untuk memastikan perkara ini tidak berulang pada masa akan datang.

"Saya sendiri akan berjumpa dengan PAC kerana kita perlu menjawab dengan jelas apa yang berlaku dalam kementerian. Kita perlu mengambil sikap tanggungjawab sepenuhnya dan sikap amanah untuk memastikan apa yang ditimbulkan oleh PAC dapat dijawab dengan sebaik-baiknya.

"Perkara ini perlu diberi penjelasan dan tidak ada apa-apa yang perlu Disorok. Kita mengambil tanggungjawab sepenuhnya apa yang berlaku. "Kita akan memberitahu apakah langkah-langkah positif yang akan diambil oleh kementerian untuk memastikan isu ini dapat ditangani dengan sebaiknya," katanya dalam sidang media di sini, Khamis.

Terdahulu, Idris menghadiri Persidangan Memartabatkan Bahasa Melayu dalam Sektor Pendidikan & Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2013.

Idris berkata beliau sedia mendengar pandangan PAC untuk memastikan wang rakyat digunakan dengan sebaik-baiknya.

Apabila ditanya bila beliau akan berjumpa dengan PAC, Idris berkata 'surat pun tak ada lagi cuma surat khabar je'.

Semalam, Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata jawatankuasa itu masih belum berpuas hati dengan penjelasan yang dibuat wakil kementerian dalam satu pertemuan berhubung kelemahan pengurusan perkhidmatan keselamatan di sekolah. Nur Jazlan berkata antara kelemahan termasuk berlakunya bayaran yang tidak wajar dan teratur kepada syarikat keselamatan swasta, kualiti perkhidmatan pengawal yang tidak baik serta kelemahan pengurusan pentadbiran.

Beliau dilaporkan berkata, walaupun kementerian telah mengambil tindakan, namun PAC mendapati ia belum mencukupi memandangkan kos terus meningkat dari RM594 juta pada 2010 kepada RM812 juta, tahun lepas. -BERNAMA

Artikel Lain