suria

PNB Umum Agihan Pendapatan 6.40 Sen Bagi ASN3

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) pada Rabu mengumumkan agihan pendapatan 6.40 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional 3 Imbang (ASN3) bagi tahun kewangan berakhir 30 November 2013.

Ia merupakan peningkatan 0.10 sen seunit berbanding agihan pendapatan 6.30 sen seunit yang diumumkan untuk tahun lepas.

"Agihan pendapatan itu membabitkan pembayaran sebanyak RM9.10 juta kepada 11,942 pemegang unit yang memiliki 142.11 juta unit dalam ASN 3," kata Pengerusinya Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Beliau berkata sehingga 26 November, ASN3 mencatat pendapatan kasar RM11.37 juta.

Daripada jumlah itu, keuntungan jualan saham menyumbang RM5.65 juta atau 49.72 peratus manakala pendapatan dividen menyumbang RM3.31 juta atau 29.15 peratus.

Sebanyak RM2.40 juta atau 21.13 peratus diperoleh menerusi pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan lain, kata Ahmad Sarji.

"Pembayaran agihan pendapatan itu akan dilaburkan semula ke dalam unit tambahan ASN3, yang akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Disember 2013.

"Ia akan dikira berdasarkan nilai aset bersih pada 30 November yang merupakan hari terakhir tahun kewangan dana berkenaan," katanya.

Pengagihan pendapatan bagi pemegang unit yang melanggan ASN3 melalui Skim Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP masing-masing.

Semua urus niaga bagi ASN3, di pejabat-pejabat dan ejen-ejen ASNB, digantung mulai 26 Nov hingga 1 Dis 2013, bagi memudahkan pengiraan agihan pendapatan.

Para pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka di ibu pejabat ASNB, pejabat cawangan ASNB atau ejen-ejen ASNB mulai 2 Disember.

Kenyataan dan laporan tahunan dana itu akan dihantar kepada pemegang unit mulai akhir Januari. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain