suria

Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak Alam Maya Dijangka Siap Suku Pertama 2014

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan merangka Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak Alam Maya dan dijangka siap pada suku pertama tahun depan untuk melindungi kanak-kanak dalam dunia siber.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata satu forum bersama agensi dan pihak berkepentingan akan diadakan pada minggu pertama bulan depan bagi mendapatkan input untuk menyediakan pelan tindakan itu.

"Kita akan memuktamadkan pelan tindakan itu berdasarkan input dari agensi dan pihak berkepentingan. Pelan itu akan dibentangkan di peringkat kementerian sebelum dibawa pada mesyuarat kabinet," katanya dalam sidang media di sini Rabu.

Sebelum itu, Rohani menghadiri "Forum Konsultatif: Kanak-Kanak Tidak Patut Dibesarkan Dalam Institusi" anjuran KPWKM dan Yayasan OrphanCARE di sini.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Harjeet Singh dan Pengerusi Yayasan OrphanCARE Tan Sri Faizah Mohd Tahir.

Rohani berharap pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 yang telah diserahkan kepada Peguam Negara akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.

"Kira-kira 70 peratus akta itu akan dipinda mengikut kesesuaian dan peredaran masa untuk memperkasa golongan itu," katanya.

Sementara itu, Rohani berkata terdapat 12 Pusat Perlindungan Kanak-Kanak di seluruh negara, kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan 1,950 penghuni.

Beliau berkata kementerian melalui JKM menawarkan kanak-kanak yang diberikan perlindungan kepada anggota masyarakat yang berminat untuk memelihara kanak-kanak tersebut.

"Kementerian mengamalkan pendekatan bahawa suasana keluarga merupakan suasana paling kondusif untuk membesarkan seseorang kanak-kanak dan perlindungan di institusi hanyalah pilihan terakhir.

"Kini, terdapat 756 permohonan dalam talian (online) untuk mendapatkan anak pelihara (anak angkat) melalui JKM," katanya.

Rohani berkata pasangan yang menepati syarat dan kriteria yang ditetapkan akan melalui proses saringan yang teliti dan rapi bagi tujuan pemadanan antara ibu bapa pelihara dengan anak pelihara.

"Proses pemberian anak pelihara adalah melalui satu Panel Penempatan Anak Pelihara yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat. Prosedur ini adalah selaras dengan Seksyen 30 (1) (e) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Beliau menambah program anak pelihara adalah satu kaedah mengelak pengambilan kanak-kanak secara tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang atau kes pemerdagangan kanak-kanak di samping memberi ruang kepada kanak-kanak tinggal dalam suasana keluarga.

Sementara itu, Faizah berkata OrphanCARE berjaya menempatkan 88 orang bayi yang ditinggalkan sebagai anak angkat oleh pasangan ibu bapa yang tidak mempunyai anak.

Selain itu, beliau berkata OrphanCARE berjaya menyelesaikan 50 kes melalui kaunseling kepada ibu kandung supaya menjaga bayi mereka sendiri dan tidak memberikannya kepada orang lain.

"Dalam pangkalan data kami, sehingga kini terdapat lebih 3,500 ibu bapa dalam senarai menunggu untuk mendapatkan bayi sebagai anak angkat mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain