suria

PAC Akan Panggil Menteri Pendidikan Jelas Projek Penswastaan Perkhidmatan Keselamatan Sekolah

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Menteri Pendidikan bagi memberi penjelasan mengenai kelemahan dalam projek penswastaan perkhidmatan keselamatan di sekolah-sekolah yang melibatkan kos sebanyak RM812 juta.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata PAC belum memutuskan sama ada akan memanggil Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan atau Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh untuk membuat penjelasan itu.

Beliau memberitahu sidang media di bilik jawatankuasa itu di bangunan Parlimen hari ini bahawa penjelasan itu mungkin dibuat awal tahun hadapan.

"PAC berpendapat banyak kelemahan dari segi pelaksanaan dan sikap yang perlu diperjelaskan seberapa segera memandangkan kos perkhidmatan keselamatan di sekolah bertambah dari masa ke semasa," katanya.

Beliau berkata PAC mengenal pasti kelemahan itu semasa mesyuarat pagi ini.

"Pembayaran secara tidak betul, kurang cekap menjalankan tugas, pelaksanaan dan perkara-perkara pentadbiran akan menyebabkan kos lebih tinggi jika tidak ditangani segera.

"Walaupun ada tindakan yang diambil kementerian, namun PAC mendapati ia belum mencukupi memandangkan kos terus meningkat dari RM594 juta (2010) kepada RM812 juta tahun lepas," katanya.

Dalam pada itu, Nur Jazlan berkata pengambilan pengawal keselamatan di sekolah-sekolah perlu dilakukan dengan teliti dan tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan aspek penjagaan keselamatan pelajar sepanjang berada di dalam kawasan sekolah.

Katanya pengawal keselamatan berperanan sebagai mata dan telinga kepada pihak sekolah dalam menyampaikan maklumat mengenai salah laku pelajar kepada guru besar.

"Pengawal keselamatan perlu mainkan peranan untuk kawal gejala tidak sihat malah pihak sekolah perlu mengambil pengawal keselamatan terlatih yang bukan sahaja berdiri dan mengawal sekolah tanpa terlibat dalam mencegah pelajar sekolah daripada terjebak dengan gejala tidak sihat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain