suria

Kerajaan Perak Teliti Cadangan Bina Bangunan Baharu Sidang DUN - Zambry

IPOH: Kerajaan Perak akan meneliti cadangan untuk membina bangunan baharu khas untuk Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata pandangan daripada semua Anggota Dewan Undangan Negeri berhubung perkara itu akan diambil kira sebelum keputusan rasmi dibuat.

"Kerajaan negeri akan memikirkan cadangan itu sebelum keputusan rasmi dibuat, ia merupakan cadangan yang baik dan saya lihat aspek ini secara positif," katanya kepada pemberita di luar persidangan DUN di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sesi perbahasan semalam oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Baharu Abdul Manaf Hashim mengenai cadangan bagi membina bangunan baharu persidangan DUN.

Katanya ia tidak mengambil masa yang lama sekiranya peruntukan mencukupi dan terdapat tapak yang sesuai dan tidak jauh dari bangunan kerajaan negeri sedia ada.

"Bangunan baharu dapat menempatkan bilik Ketua Pembangkang, bilik speaker termasuk mesyuarat jawatankuasa boleh diadakan di situ dan bangunan itu lebih berfungsi sebagai bangunan tersendiri," katanya.

"Ia juga sebagai keperluan untuk menjadikan sistem lebih berfungsi. Bayangkan dalam satu tempat sama tergabung antara perundangan, eksekutif, legislatif agak sukar," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain