suria

Transformasi Undang-Undang Untuk Jamin Keselamatan Negara - Peguam Negara

PUTRAJAYA: Kerajaan telah melaksanakan transformasi undang-undang secara signifikan, termasuk meminda undang-undang sedia ada dan mendraf undang-undang baharu demi keselamatan awam, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail pada Selasa.

Beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha melindungi keselamatan Malaysia dan warganegaranya.

Katanya keseimbangan antara kepentingan negara, keselamatan awam dan hak asasi perlu dibangunkan dari semasa ke semasa, selaras dengan perubahan yang berlaku dalam masyarakat kita yang jumlahnya sentiasa bertambah.

"Saya ingin menggesa rakyat untuk memikirkan dan menilai usaha-usaha yang telah diambil kerajaan untuk meningkatkan keselamatan awam. Anda perlu beri peluang kepada agensi-agensi kerajaan dan kerajaan kita untuk membuktikan langkah-langkah yang diambil ini sebenarnya, efektif.

"Bagi undang-undang baharu dan pindaan yang diperkenalkan kerajaan, masa akan menentukan sekiranya undang-undang berkenaan sebenarnya adalah undang-undang yang dinamik dan baik untuk menangani masalah yang ada," kata Abdul Gani semasa menyampaikan ucaptama bertajuk 'Transformasi Landskap Undang-undang: Inisiatif Keselamatan Awam" pada Persidangan Undang-undang Kebangsaan 2013 di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (Ilkap) di sini.

Beliau berkata kerajaan tidak pernah mengambil mudah isu keselamatan negara, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semasa membentangkan Bajet 2014 telah memperuntukkan sejumlah besar wang untuk menambahbaik aspek keselamatan dan ketenteraman awam.

Persidangan Undang-undang Kebangsaan merupakan acara tahunan yang diadakan dengan kerjasama pelbagai agensi terpilih.

Bertema "Keselamatan Awam dan Undang-undang', persidangan dua hari itu berobjektif menilai amalan sedia ada dan membincangkan isu dan cabaran berkaitan dengan keselamatan awam dari aspek undang-undang.

Mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) untuk menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1954, Gani berkata ia adalah perlu untuk memastikan keselamatan awam dijamin.

Beliau berkata Sosma bertujuan mengendalikan jenayah keganasan, pengintipan dan khianat manakala pindaan PCA pula untuk memerangi jenayah terancang dan pemerdagangan manusia.

"Oleh itu, beberapa undang-undang baharu dan pindaan adalah perlu untuk memastikan keselamatan awam dijamin. Beberapa insiden telah membawa kepada kepercayaan bahawa undang-undang diperlukan untuk melindungi keselamatan negara".

Gani berkata banyak kritikan telah dilemparkan dan perbahasan diadakan berhubung kesahihan Sosma dan PCA, yang didakwa melanggar hak asasi warganegara.

"Bagaimanapun, apabila membabitkan usaha menjamin keselamatan awam, tidakkah sedikit pengorbannan perlu dilakukan untuk sesuatu yang lebih baik? Sentiasa ada alasan kukuh bagi setiap undang-undang dan kadang kala undang-undang adalah 'kejahatan' yang perlu untuk menangani perkara yang lebih jahat," katanya.

Mengenai cadangan akta keharmonian negara untuk menggantikan Akta Hasutan 1948, Gani berkata akta itu bukan sahaja akan menangani masalah yang timbul daripada penyalahgunaan internet tetapi juga akan diperluaskan untuk perkara-perkara lain.

Beliau berkata akta itu bertujuan menggalakkan keharmonian dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia dan pada masa yang sama mencari keseimbangan bagi kebebasan bersuara dan menyampaikan pandangan seperti dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. - BERNAMA

Artikel Lain