suria

QSR Brands Sahkan Ahmad Zaki Letak Jawatan

Ahmad Zaki Zahid
Ahmad Zaki Zahid
Ahmad Zaki Zahid

KUALA LUMPUR: QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd, pengendali rangkaian restoran makanan segera di Asia Tenggara, mengumumkan pasukan pengurusan interim susulan peletakan jawatan Pengarah Urusannya, Datuk Ahmad Zaki Zahid.

QSR Brands dalam satu kenyataan pada Isnin berkata Ahmad Zaki, yang juga pengarah urusan KFC Holdings Malaysia Bhd, akan meninggalkan syarikat itu berkuat kuasa 31 Disember untuk melibatkan diri dalam peluang lain dan akan memulakan cutinya pada 1 Disember.

Ia berkata kedudukannya tidak akan dipenuhi serta merta tetapi satu pasukan pengurusan interim yang terdiri daripada tiga pegawai kanan akan dilantik untuk menguruskan syarikat itu.

"Pengarah eksekutif, Mohamed Izaham Abdul Rani, akan bertanggungjawab untuk Perkhidmatan Korporat Kumpulan dan semua operasi huluan sementara operasi restoran di Malaysia dan Brunei adalah di bawah tanggungjawab Rohan St George dan Singapura dan Kemboja di bawah Koh Kek Sin," katanya sambil menambah bahawa perubahan itu berkuat kuasa serta merta.

Pengerusi Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata dengan pasukan pengurusan interim itu dan penglibatan aktif lembaga pengarah, syarikat itu akan terus menumpukan kepada strategi pertumbuhannya.

"Kedua-dua KFC dan Pizza Hut adalah peneraju dalam kategori masing-masing, dan kami akan terus mencapai objektif utama kami bagi mengekalkan kedudukan pendahulu kami di pasaran," kata beliau.

Beliau juga melahirkan rasa terima kasih syarikat kepada Ahmad Zaki atas sumbangan beliau.

QSR Brands merupakan pengendali lebih 300 restoran Pizza Hut di Malaysia dan 50 restoran di Singapura.

Ia juga merupakan pemegang francais 700 restoran KFC di Malaysia, Singapura, Brunei, India dan Kemboja, pemilik jenama Ayamas dan pengendali Restoran RasaMas dan rangkaian kedai serbaneka Kedai Ayamas. BERNAMA

Artikel Lain